‘Semoga saya dan isteri terpilih jadi tetamu Allah’

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER LIMAU 26 Mac – “Semoga tahun ini saya dan isteri dizinkan Allah untuk menunaikan ibadah haji selepas tertangguh sejak 2020.

“Saban hari saya tidak pernah lupa berdoa agar kami dipilih menunaikan ibadah haji tahun ini selepas pemergian kami yang sepatutnya dua tahun lalu ditangguhkan,” kata penternak lembu, Abdullah Idris, 72.

Abdullah berkata, sejak kerajaan menangguhkan jemaah haji untuk menunaikan haji pada 2020 dan 2021, dia tidak lekang berdoa agar Allah mengizinkannya dan isteri, Siti Hawa Jantan, 68, untuk berangkat ke Tanah Haram.

Katanya, dia mengikuti perkembangan pelbagai langkah diambil Kerajaan Arab Saudi berhubung ibadah umrah dan haji, termasuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah umrah baru-baru ini.

Selain itu, dia juga tidak pernah ketinggalan daripada mengikuti perkembangan semasa mengenai usaha kerajaan untuk mendapatkan kuota jemaah haji daripada Kerajaan Arab Saudi.

Pemilik 30 lembu itu adalah seorang daripada puluhan ribu bakal jemaah haji yang sudah menerima surat tawaran TH untuk menunaikan haji secara ‘muassasah’ bagi musim haji tahun 2020 tetapi tidak mampu menunaikannya berikutan keputusan kerajaan menangguhkan penghantaran mereka akibat penularan wabak COVID-19.

Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Md Noor berkata, beliau dan isteri sudah melakukan pelbagai persiapan, terutama menyempurnakan kelas kursus haji dikendalikan TH dan sememangnya berazam melaksanakan ibadah berkenaan dengan penuh khusyuk dan tawadduk.

Dia berkata, jika kos menunaikan haji meningkat, dia bersedia meningkatkan jumlah simpanan dalam TH asalkan diberikan peluang untuk berangkat ke Tanah Suci tahun ini.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki hasil daripada titik peluh saya memelihara lembu sejak 20 tahun lalu dan dengan wang itu jugalah saya menabung dalam TH dengan niat untuk menunaikan haji jika dipanjangkan umur,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Paya Rumput, di sini hari ini.

Sehubungan itu, dia berharap perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dengan Kerajaan Arab Saudi di negara berkenaan yang dilaporkan berlangsung dari 18 hingga 27 Mac ini bakal membawa berita gembira untuk jemaah haji Malaysia.

Menurut laporan, kerajaan akan mengumumkan keputusan perbincangan dengan Arab Saudi mengenai kos serta jumlah kuota haji pada awal April ini.

Sebelum ini, kerajaan menjangka kos menunaikan haji meningkat kepada lebih RM30,000, peningkatan sehingga 50 peratus berbanding RM23,000 sebelum ini, disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1456
Kongsi :
Previous post DUN Merlimau: Makam Tun Teja bakal berwajah baharu
Next post SPM 2021 sesi kedua dilaksana 5 April-19 Mei
Ubah saiz-+=