Trauma kenang kisah rumah ‘ditelan’ banjir besar
AYER LIMAU 26 Mac – “Keadaan itu pantas berlaku, air sangat laju, berpusing pusing dan menakutkan sehinggakan suami dan dua anaknya terpaksa panjat bumbung menantikan bantuan dari pihak keselamatan,” itu cerita dikongsikan mangsa banjir Lubok China, Fauziah Mat Isa, 51.
Katanya, pengalaman menakutkan dalam kejadian banjir yang berlaku Disember lalu disifatkan umpama ‘mimpi ngeri’ baginya sekeluarga berikutan ia pertama kali berlaku menyebabkan rumahnya ditenggelami air sepenuhnya.
Fauziah menceritakan, kejadian yang berlaku begitu pantas membuatkan keluarganya cemas berikutan hujan tanpa henti sejak malam sebelum kejadian banjir itu berlaku.
“Hujan lebat sepanjang malam dan pada pukul 3 pagi saya terbangun tidur melihat air semakin naik sehingga paras pinggang.
“Lalu suami suruh saya dan anak-anak cepat pindah ke pekan Lubok China sementara dia mengalihkan barangan yang penting.
“Saya lihat air begitu deras dan berpusing pusing ketika itu namun kami berjaya menyelamatkan diri namun suami dan anak terpaksa tinggal akhirnya terpaksa panjat bumbung menantikan kerja penyelamatan sebab air sangat pantas naik ketika itu,” katanya kepada pemberita.
Pada masa sama, Fauziah berkata, kesan insiden itu mereka terpaksa menanggung kerugian besar, terutamanya membabitkan peralatan elektrik dan pelbagai barangan keperluan lain yang rosak.
Malah katanya, biarpun setelah berbulan-bulan berlalu, sehingga kini motosikal dan keretanya masih belum dapat dibaiki.
“Di belakang rumah pula ada tanaman fertigasi halia dikerjakan anak pun telah rosak teruk dan ada dihanyutkan deras, memang rosak teruk dari banjir ini,” katanya.
Terdahulu, hasil kepayahan yang dihadapi keluarga itu, Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) telah menyantuni keluarga terbabit dan menyampaikan beberapa sumbangan buat bagi meringankan bebanan ditanggung.
Dalam kunjungan di Kampung Telok Berembang, Lubok China itu, Fauziah antara dua keluarga terpilih menerima bantuan sumbangan perabot dan peralatan memasak telah disampaikan Timbalan Pengerusi (DMDI), Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.