DUN Pahang bubar hari ini – MB

KUANTAN, 14 Okt – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 berkuat kuasa hari ini, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wan Rosdy berkata beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.

Beliau berkata selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini.

“Tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Keputusan Pahang untuk ‘turut serta’ dengan PRU-15, menurut Wan Rosdy adalah dibuat atas beberapa keperluan terutamanya bagi mengelak proses dan musim pilihan raya yang berulang dalam tempoh yang singkat kerana pilihan raya negeri perlu diadakan kurang setahun dari sekarang.

“Pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya. Selain itu, permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran.

“Ini sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan. Oleh demikian, kerajaan negeri berpandangan wujud keperluan untuk turut menyertai PRU-15,” katanya.

Dengan pembubaran itu, Wan Rosdy merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang meletakkan kepercayaan kepadanya dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri sejak lebih empat tahun lepas.

Beliau juga berharap supaya prestasi dan pencapaian cemerlang pada penggal ini serta agenda menarik yang telah dibentangkan pada belanjawan yang diluluskan semalam, akan menjadi pertimbangan kepada semua pihak untuk mengekalkan mandat BN sebagai pentadbir Pahang.

Memberikan contoh kejayaan BN, Wan Rosdy berkata kutipan hasil berjaya melepasi RM1 bilion, pelaburan yang dibawa masuk mencecah RM20.5 bilion dan kejayaan mengurangkan 71 peratus hutang negeri daripada RM3.31 bilion kepada RM952 juta.

“Insya-Allah sekiranya mandat terus diberikan kepada kita dalam PRU15 yang dijalankan tidak lama lagi ini, saya akan memastikan BN melakukan ikhtiar yang jauh lebih cemerlang, berbanding apa yang telah kami usahakan pada penggal ini,” katanya.

Wan Rosdy seterusnya merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Hassanal yang berkenan melantik beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Pahang ke-15.

Pada pilihan raya umum lepas, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

-BERNAMA-

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Previous post Kajian pemasangan panel solar terapung atas air di Melaka diteruskan – PM
Next post DUN Perlis bubar hari ini