DUN Perlis bubar hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KANGAR, 14 Okt – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis ke-14 berkuat kuasa hari ini.

Azlan berkata pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya beliau dan Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.

“Alhamduillah baginda telah memberi perkenan dan tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Azlan Man berkata Raja Perlis juga telah menandatangi pengisytiharan pembubaran DUN Perlis berkuat kuasa hari ini.

“Jadi PRU Negeri akan diadakan serentak dengan PRU15 dan kita akan serahkan segala urusan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk membuat tindakan sewajarnya,” katanya.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14, sepuluh kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.

Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen. Penyandang kerusi Arau dan Padang Besar adalah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masing-masing dari BN, manakala kerusi Parlimen Kangar disandang Noor Amin Ahmad (PKR).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1175
Kongsi :
Previous post DUN Pahang bubar hari ini – MB
Next post Peruntukan RM600 juta bina Kolam Dwi-Fungsi Krubong – PM
Ubah saiz-+=