Duo ‘Samba’ jadi taruhan

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

EKORAN prestasi kurang memuaskan pada pusingan pertama Liga Super musim 2021, Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) memutuskan dua penyerang importnya, Alex dos Santos Goncalvez dan Stefan Nikolic digugurkan pada jendela perpindahan bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Seri Justin Lim berkata, keputusan dibuat setelah meneliti laporan prestasi skuad Hang Tuah daripada pihak pengurusan baru-baru ini.

Beliau yang memangku tugas daripada Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang meletak jawatan Selasa lalu berkata, serentak itu pihaknya membawa masuk dua penyerang baharu dari Brazil yang dipercayai mampu mengubah nasib pasukan yang kini berada di zon penyingkiran Liga Super.

NIKOLIC (kiri) menjadi antara yang digugurkan di pertengahan musim.

Katanya, kedua-dua pemain iaitu Giovane Gomez dan seorang lagi dikenali sebagai Adriano yang sudah tiba dan bakal menyertai pasukan pasukan sedikit masa lagi.

“Gomez dan Adriano kini sedang menjalani kuarantin wajib sebelum menyertai pasukan.

“Apa yang pasti, kedua-dua mereka dipilih kerana kita melihat kualiti yang ada pada mereka cukup bagus untuk membantu pasukan.

“Kita berharap, dengan kehadiran dua pemain import ini bersama seorang lagi pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat akan dapat membantu pasukan memperoleh keputusan yang lebih baik di pusingan kedua nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Untuk rekod, Gomez merupakan penyerang berusia 26 tahun yang dipinjamkan daripada kelab divisyen empat Brazil, Caxias-RS, manakala, Adriano pula hanya akan diumumkan secara rasmi sedikit masa lagi.

ZAINAL terus diberi kepercayaan memimpin pasukan.

Mengulas keputusan yang dianggap sedikit kontroversi oleh penyokong iaitu mengekalkan Zainal Abidin Hassan sebagai Ketua Jurulatih, Justin berkata keputusan itu dibuat selepas berpuas hati dengan laporan yang dibentangkan pengendali berusia 59 tahun itu.

Jelasnya, keputusan mengekalkan Zainal sehingga hujung musim juga telah dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Beliau bagaimanapun berharap bekas pemain kebangsaan itu mampu mencipta magis untuk membantu pasukan kembali bersaing dan seterusnya kekal beraksi di pentas Liga Super musim hadapan.

“Kita perlu berlaku adil dan tidak boleh menyalahkan Zainal sepenuhnya (prestasi kurang baik sebelum ini). Boleh jadi pelbagai faktor lain turut menyumbang kepada kejatuhan moral pasukan.

“Jadi, selepas membuat pertimbangan, kita memilih untuk mengekalkan khidmatnya sehingga tamat musim ini dan berharap segala masalah yang dihadapi sebelum ini dapat diperbaiki untuk memberikan keputusan yang lebih baik kepada MUFC dan penyokong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post Hampir seluruh daerah di Semenanjung kini zon merah- KP kesihatan
Next post PKRC awam MITC jangka terima pesakit jam 2 petang ini
Ubah saiz-+=