Duyong johan keseluruhan Sukan Melaka 2023

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong membuktikan keunggulan dalam acara sukan apabila muncul juara keseluruhan Sukan Melaka 2023.

Ia selepas DUN berkenaan menjulang tiga trofi juara iaitu dalam sukan futsal, sepak takraw dan bola jaring daripada lima sukan yang dipertandingkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha keras urusetia dan pemain yang bertungkus-lumus sejak awal hinggalah ke penamat kejohanan itu.

“Sebenarnya saya sendiri tak sangka kita mampu merangkul kejuaraan ini kerana semuanya disusun oleh urusetia dan tahu-tahu sahaja pasukan kita menang.

“Apapun terima kasih kepada semua terutamanya Kerajaan Negeri Melaka yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri; Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dan semua yang mengembalikan semula acara ini di bumi Melaka.

“Insya-Allah jika ada lagi tahun depan, kita akan gilir-gilir beri peluang DUN lain pula muncul juara,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menyuarakan harapan agar Sukan Melaka diteruskan pada tahun-tahun mendatang, selain diangkat menjadi acara tahunan.

“Sebenarnya inilah medium menyatupadukan masyarakat yang mana di sinilah tempat semua daripada kita meninggalkan perbezaan politik dan perbezaan pendapat demi satu kemenangan.

“Saya percaya daripada semangat kampung akan jadi semangat DUN, seterusnya menjadi semangat Parlimen dan siapa tahu semua yang menyertai ini akan mewakili negeri dan membanggakan rakyat Melaka. Jadi, saya berharap acara ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1633
Kongsi :
Previous post Berbusana pahlawan berhujan demi sukan sunnah
Next post Penjagaan alam sekitar perlu jadi budaya di Melaka
Ubah saiz-+=