Ekspresi seni, secangkir kopi

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

LENDU 27 Februari – Menikmati secangkir kopi sambil menghayati seni arca antara keunikan yang dibawa sebuah kafe di Masjid Tanah.

Dibuka di halaman rumah di Taman Makmur, di sini, kafe Kopi Arca yang baru beroperasi kira-kira tiga bulan menjadi antara tarikan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Keunikan itu bukan sahaja membuka peluang kepada pencinta seni melihat hasil karya yang dipamerkan, bahkan turut menambah nilai estetika kopi dan seni yang sentiasa berpadanan.

Pengusaha kafe, Alif Syazwan Rosli, 27, berkata, konsep istimewa itu merupakan ilham bapanya yang juga seorang artis, Dr. Rosli Zakaria, 60, yang berhasrat menggabungkan kafe dan galeri seni di bawah satu bumbung.

Photo1708782957
ALIF ketika ditemui Melaka Hari Ini. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, ilham itu secara tidak langsung membuka peluang kepada pengunjung kafe menikmati kopi yang kini menjadi antara gaya hidup dan pada masa sama dapat menghayati lebih 200 karya seni yang dipamerkan di galeri secara percuma.

“Idea membuka kedai kopi ini selepas ayah saya terinspirasi daripada galeri yang dipamerkan beberapa artis dari Jogjakarta, Indonesia.

“Sebagai pembantu kepada karier ayah, saya sering mengikutinya dalam sesi lawatan ke negara jiran itu dan kebanyakan galeri yang dibuka di rumah mempunyai kedai kopi sendiri untuk menarik kedatangan pelanggan.

“Pada asalnya, halaman rumah ini dijadikan bengkel seni oleh ayah, namun ia diubah suai menjadi sebuah kafe di halaman rumah, selain menambah ‘mood’ seni kepada pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1708783054
MENYIAPKAN kopi yang dipesan pelanggan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi Alif, pembukaan kafe itu membuka pintu rezeki buat dirinya yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu dan kini sedang menanti kehadiran cahaya mata pertama.

Pemuda itu berkata, walaupun menghidap epilepsi sejak tujuh tahun lalu dan boleh diserang sawan pada bila-bila masa, namun itu bukan penghalang untuknya, sebaliknya, dia lebih bersemangat untuk membuktikan sesuatu selain berhasrat mahu melebarkan perniagaan itu.

“Saya mula didiagnosis dengan epilepsi selepas saya terjatuh tujuh tahu lalu. Disebabkan penyakit ini, saya tidak dibenarkan lagi memandu kereta kerana beberapa tahun lalu saya beberapa kali hampir kemalangan apabila diserang sawan.

“Ketika berniaga juga penyakit ini boleh datang menyerang. Namun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga sentiasa memberi dorongan kepada saya dan kami saling membantu dan melengkapi untuk memajukan perniagaan ini.

Photo1708783608 (2)
ANTARA seni arca yang dipamerkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Besar harapan saya untuk melihat kafe ini terus maju dan kami berharap idea menggabungkan kopi dan seni ini dapat diterima orang ramai,” katanya yang memaklumkan kafe berkenaan beroperasi setiap hari kecuali Selasa, bermula jam 4 petang hingga 11 malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1835
Kongsi :
Previous post TMM2024: Menara Taming Sari semakin meriah
Next post Tiga ditahan bergaduh kerana bola sepak
Ubah saiz-+=