Sorting by

×

Elak pembaziran, utamakan program beri manfaat kepada rakyat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 12 Ogos – Kerajaan negeri memandang serius langkah pengurangan perbelanjaan termasuk pembaziran dalam pengurusan program atau aktiviti mengikut keadaan ekonomi semasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia bagi memastikan peruntukan diluluskan mencukupi selaras dengan dasar dan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Kita hendaklah menyusun program atau aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan dengan memastikan tidak membuat ‘trade-off’ atas program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya mahu semua penjawat awam kerajaan negeri memberi perhatian terhadap perkara ini dan pastikan perbelanjaan kita ini lebih ke arah memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Mengulas lanjut, Sulaiman meminta semua ketua jabatan memberi kerjasama dan komitmen untuk mematuhi langkah-langkah penjimatan tersebut.

“Ini salah satu inisiatif kita untuk bersama-sama menjayakan usaha Kerajaan Negeri Melaka untuk mengawal perbelanjaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1176
Kongsi :
Previous post Kenyataan umum penjawat awam perlu dapat kebenaran – SUK
Next post Tabung Pahlawan Melaka kutip RM150,000
Ubah saiz-+=