Kenyataan umum penjawat awam perlu dapat kebenaran – SUK

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 12 Ogos – Pegawai dan kakitangan awam kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka sebelum menghebahkan sebarang kenyataan umum berkaitan agensi mereka.

SUK Melaka, Datuk Zaidi Johari berkata, kenyataan berkenaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihaknya agar ia tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

Bagaimanapun ujarnya, sekira terdapat sebarang operasi yang dijalankan sesetengah agensi ia perlu merujuk kepada Pengarah di jabatan terlibat.

“Mereka perlu dapatkan kelulusan daripada SUK dahulu di peringkat negeri, sekiranya dapat kebenaran untuk buat kenyataan umum berkaitan agensi kerajaan atau masalah di jabatan, itu dibenarkan.

“Mereka boleh menghubungi secara terus, tak perlu surat menyurat dan sebagainya dan jika SUK melihat perkara itu boleh diterbit atau di uar-uarkan, jadi kita akan beri kebenaran.

“Untuk sebarang operasi yang dijalankan, seperti operasi khalwat yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kita serahkan kepada Pengarahnya, jika mereka berfikiran ia boleh di umumkan untuk diberitahu kepada umum, kita akan benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Sebahagian kakitangan kerajaan yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam pada itu, Rahmad yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika ucapan perasmian program berkenaan berkata, larangan mengeluarkan kenyataan itu telah termaktub dalam peraturan sedia ada yang masih berkuatkuasa mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam di bawah kelakuan dan tata tertib 1993.

Jelasnya, arahan yang dikeluarkan tersebut adalah bertujuan untuk mempertahankan prinsip prinsip ‘neutrality’ dan ‘impartiality’ dalam perkhidmatan awam.

“Saya menegaskan dan memperingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam negeri untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“Saya berharap penekanan yang serius ke atas perkara ini perlu diberikan serta mengingatkan semua ketua-ketua jabatan agar dapat memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1930
Kongsi :
Previous post Penjawat awam perlu terus cakna aduan rakyat – KM
Next post Elak pembaziran, utamakan program beri manfaat kepada rakyat – KM
Ubah saiz-+=