Elaun guru takmir seluruh negara mencukupi – Jakim

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PUTRAJAYA 28 Okt – Peruntukan bagi elaun guru takmir di seluruh negara untuk tahun ini adalah mencukupi hingga bulan Disember, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Mengulas mengenai surat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berhubung tuntutan elaun guru takmir di Kelantan dibayar setakat November sahaja yang tular, beliau berkata Jakim berpandangan arahan tersebut adalah berdasarkan prosedur kewangan negeri berkenaan.

Jakim, katanya sekali lagi pada 26 Okt 2020 telah mengeluarkan surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai pemakluman pembayaran elaun guru takmir.

“Jakim tiada halangan kepada pihak negeri untuk menguruskan pembayaran elaun tersebut tertakluk kepada prosedur kewangan semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Surat MAIK bertarikh 8 Okt 2020 yang menyatakan tuntutan elaun mengajar kelas takmir di negeri itu adalah untuk 11 bulan sahaja iaitu Januari hingga November, tular di media sosial.

Jakim menegaskan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan para murabbi (pendidik) yang banyak membantu pembangunan insan di negara ini seperti guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), katanya.

Ini terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Mac lepas supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada kelas pengajian takmir atau KAFA dapat dilaksanakan atau sebaliknya

— BERNAMA

Views:

787
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: Agong nasihat ahli Dewan Rakyat beri sokongan padu
Next post Musim ribut barat: Nelayan bersedia ‘cuti panjang’
Ubah saiz-+=