Empat beradik ‘tergantung’ hidup

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KLEBANG 21 Jan. – Sudahlah ibu meninggal dunia akibat barah Disember lalu, bapa yang selama ini menjadi tempat bergantung hidup pula terkandas di negara jiran dan tidak dapat pulang ke Malaysia.

Itu nasib malang dialami empat beradik di Kampung Pulau Gadong, di sini yang kini buntu memikirkan nasib untuk meneruskan kehidupan tanda kedua orang tua untuk menguruskan kehidupan seharian mereka.

Menurut Muhammad Zulfikar Daniel Sutrisno, 17, dia dan dua lagi adiknya Muhammad Zulhaikal Eltrimichal, 16, serta Nurdiana Melisa Fitri, 13, juga masih belum mendaftar persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang ekoran kesusahan hidup dihadapi.

“Nasib kami empat beradik berubah apabila ibu, Eli Kabar, 52, pulang ke Indonesia pada Ogos 2019 bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit barah tahap empat dihidapi.

“Pada Januari 2020 bapa, Sutrisno Musa, 54, pula pulang ke kampung bagi mengikuti perkembangan kesihatan ibu, sebelum ibu disahkan meninggal dunia pada 30 Disember lalu,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Zulfikar Daniel yang juga anak kedua berkata, keadaan bertambah buruk apabila ayah pula terkandas di Indonesia disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu menyebabkan segala urusan mendaftar persekolahan terbantut

“Sehingga ke hari ini, kami masih belum mendaftar sesi persekolahan kerana tidak mampu membeli buku apatah lagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian yang memerlukan gajet serta internet

“Saya ada juga cuba bekerja sebagai buruh binaan selama dua bulan ketika menumpang di rumah kakak, Novi Margareta, 30, di Selangor November lalu untuk menampung keperluan keluarga,”katanya.

Sementara itu Novi berkata, dia yang sudah berkahwin serta mempunyai dua orang anak berusia lima dan 10 tahun mengambil keputusan untuk duduk berjauhan dengan suami dan ikut pulang ke kampung halaman bersama tiga adiknya itu pada minggu lalu.

“Suami pula hanya bekerja sebagai buruh binaan dan tidak cukup untuk menyediakan keperluan asas adik beradik sehinggakan saya terpaksa menjual motosikal untuk membeli keperluan asas selain melangsaikan hutang kepada jiran yang banyak membantu,” katanya sambil mengesat air mata.

Terdahulu, nasib empat beradik itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan yang menziarahi serta menyampaikan kit bantuan makanan termasuk wang tunai serta sebuan komputer riba untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Difahamkan keluarga ini dalam proses untuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), namun apa yang dibimbangkan sekarang bukan mengenai bekalan makanan sahaja, tetapi pembelajaran mereka ini.

“Jadi, sebagai bantuan awal, kita berikan sebuah komputer riba untuk memastikan ketiga-tiga beradik ini dapat meneruskan pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan pada hari ini, katanya.

Views:

343
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali ‘turun padang’ lawat petugas barisan hadapan
Next post Polis nafi saman individu tidak pakai sarung tangan- Acryl Sani
Ubah saiz-+=