Empat buah sekolah Melaka Tengah terima bangunan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 31 Mei – Sebanyak empat buah sekolah dalam daerah Melaka Tengah bakal menerima inisiatif pembinaan sebuah bangunan baharu dalam masa terdekat ini.

EXCO Pendidikan, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu bakal diterima setelah kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi membina bangunan baharu sekali gus mampu membantu mengurangkan kesesakan pelajar di sekolah terlibat.

Jelasnya, antara empat sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Ulu, SK Klebang Besar, SK Kampung Tun Razak dan SK Datuk Demang Haji Husin.

“Jadi harapan saya insyaAllah bila bangunan baharu di sekolah ini siap dibina akan memberi satu nilai tambah dalam sistem pendidikan dalam negara terutamanya negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Melaka Tengha di Auditorium Oriental Nilam College of Nursing & Health Science, di sini, hari ini.

Pada program sama turut berlangsung penyampaian anugerah seperti Tokoh Guru Melaka Tengah dan Anugerah Tokoh Kepimpinan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna dengan perkembangan semasa membabitkan keperluan infratruktur dalam sekolah bagi memastikan proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Malah ujarnya, setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan serius terhadap keperluan prasarana sekolah dan perkara itu sentiasa dalam perhatiannya.

Terdahulu, tular sebuah hantaran luahan seorang guru mengatakan papan putih dan papan hitam disebuah sekolah telah usang hingga menyukarkan proses pembelajaran.

Tambah Rais, pihaknya menafikan perkara itu berlaku dalam negeri ini berikutan kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan guru bagi memastikan sesi pembelajaran di sekolah berjalan dengan lancar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4606
Kongsi :
Previous post Lelaki bakar rumah diburu polis
Next post Kanak-kanak 11 tahun hasilkan pelindung muka terima penghargaan daripada PBSM
Ubah saiz-+=