Empat generasi tiada bekalan air dan elektrik

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MACHAP 28 Jan. – Hidup di dalam pondok yang tiada bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada anak sungai serta perigi sebagai sumber minuman selama empat generasi.

Itu nasib dialami 15 penduduk Orang Asli suku Temuan di penempatan sementara Hutan Simpan Bukit Sedanan, Selandar di sini yang mendakwa berasa terpinggir apabila masih tiada kemudahan asas sejak 50 tahun lalu.

Tepong Rudang, 48, berkata, dia adalah generasi keempat menetap di pondok di dalam hutan simpan itu bermula dengan moyang, datuk dan ayahnya sehingga penempatan itu kini mempunyai enam pondok didiami enam keluarga membabitkan 15 penduduk berusia antara 11 bulan hingga 60-an.

“Selama itu, kami tidak pernah mendapat bekalan elektrik dan air bersih sebaliknya hanya bergantung pada air di anak sungai atau perigi pada musim kemarau.

“Bukan tidak pernah kami cuba memohon bekalan asas itu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), tapi sudah lebih 10 kali permohonan yang dibuat sejak 1990-an itu tidak mendapat kelulusan.

MOHD Yusof (empat dari kiri) menyantuni masyarakat Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Sedanan, Selandar yang tiada kemudahan asas air dan elektrik sejak 50 tahun lalu.

“Hendak cakap banyak pun kami tak tahu kerana rata-rata penduduk di sini yang bekerja hutan dan menoreh getah dengan pendapatan RM600 atau RM400 sebulan tidak tahu membaca,” katanya ketika ditemui media di pondoknya di sini semalam.

Perasaan sama dikongsi Legeh Kudang, 46, yang masih mengharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan penyediaan kemudahan asas di penempatan terbabit.

Bagi Alice Tepong, 24, dia hanya memikirkan masa depan dua anaknya masing-masing berusia 8 tahun dan 11 bulan terutamanya anak sulung yang masih belum mendaftar persekolahan sehingga kini.

“Hendak sekolah pun jauh dan terpaksa jalan kaki hampir dua kilometer melalui jalan tanah merah tidak berturap menuju ke jalan besar.

“Tambahan pula, dalam keadaan musim pandemik COVID-19 sekarang, pembelajaran bergantung sepenuhnya pada peranti elektronik untuk kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Usah kata internet dan peranti, elektrik yang menjadi bekalan asas kehidupan seharian pun tiada di sini macamana anak-anak hendak belajar,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 penduduk Orang Asli berkenaan menerima kunjungan daripada Barisan Nasional dan UMNO diketuai Pegawai Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.

Turut sama adalah Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Jaya Datuk Rospandi Leman, Pegawai Kemajuan JAKOA Melaka, Adzrien Ab Rahim dan wakil dan wakil daripada Jabatan Perhutanan Melaka.

Rombongan terbabit menyampaikan pelbagai barangan keperluan harian termasuk makanan, lampin pakai buang dan wang tunai.

Views:

679
Kongsi :
Previous post Pembantu tadbir ‘terjerat’ Macau Scam, rugi lebih RM125,000 di Alor Setar
Next post Prihatin peniaga, UiTM lanjut pengecualian sewa premis enam bulan lagi
Ubah saiz-+=