Empat maut kereta rempuh lori rosak di lebuh raya

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BATU PAHAT, 12 Jun – Seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing maut selepas kereta yang mereka naiki melanggar bahagian belakang treler rosak di KM123.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Pagoh-Yong Peng, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata nahas berlaku pada 9.15 malam, mengorbankan pemandu kereta berusia 26 tahun manakala mangsa wanita warga Vietnam berusia antara 19 hingga 32 tahun.

Beliau berkata treler berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun serta dalam perjalanan dari Semenyih, Selangor menuju ke Kulai, Johor, berhenti di tengah jalan selepas mengalami kerosakan.

“Kereta mangsa merempuh bahagian belakang treler ketika pemandu treler terbabit sedang mendapatkan bantuan untuk mengalihkan kenderaannya.Pemandu kereta bersama dua penumpangnya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lagi penumpang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II Jefri Hashim berkata enam anggota bersama sebuah jentera LFRT bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa, namun tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi mangsa parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Operasi tamat pada 9.59 malam,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post Bas ekspres langgar pembahagi jalan, tujuh cedera ringan
Next post Ketua Menteri tinjau persiapan sambut keberangkatan Agong di Masjid Sultan Ibrahim
Ubah saiz-+=