Empat termasuk tiga beradik ditahan bersama syabu bernilai RM204,400

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KEPALA BATAS 23 Mei – Polis menahan empat individu termasuk tiga beradik kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas 5,244 gram (g) syabu bernilai RM204,400 dalam serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu rumah itu pada 5.30 petang dan menahan kesemua mereka berumur 42 hingga 51 tahun serta merampas dadah disembunyikan di dalam sebuah beg sekolah.

“Pemeriksaan di dalam rumah didiami mereka, polis menemukan lima bungkusan syabu seberat 5,244 g yang disembunyikan di dalam sebuah beg sekolah di sebuah bilik dan siasatan mendapati sindiket dipercayai turut menjadikan kediaman tersebut sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah sebelum menjual kepada pembeli di sekitar negeri ini.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang suami isteri dan adik perempuan serta adik lelaki kepada wanita itu, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah serta aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati seorang lelaki positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan susulan serbuan tersebut, polis turut menyita dua kereta iaitu Perodua Myvi dan Kenari serta wang tunai sebanyak RM1,050 daripada mereka.

Noorzainy berkata dua lelaki dan dua wanita yang ditahan itu mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket pengedaran dadah yang didalangi keluarga tersebut dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang ahli perniagaan kerugian RM40,000 selepas lelaki itu menjadi mangsa Macau Scam iaitu penipuan penyamaran sebagai pegawai kerajaan menerusi panggilan telefon, dalam kejadian baru-baru ini.

Katanya, lelaki berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat sebelum panggilan berkenaan disambung kepada individu lain kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

“Mangsa dimaklumkan oleh ‘polis’ berpangkat ASP itu bahawa dia juga telah terlibat dalam beberapa kes jenayah seperti dadah, along dan scam, dia yang panik selepas mendengar dakwaan itu tanpa berfikir panjang telah mengikut arahan pemanggil supaya namanya dibersihkan daripada rekod polis,” katanya.

Noorzainy berkata mangsa memindahkan wang sebanyak RM40,000 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek dan hanya menyedari dia ditipu selepas memaklumkan hal itu kepada anak lelakinya sebelum tampil membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post Bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun- Ismail Sabri
Next post Cheng Hoe masih ‘pening’ pilih kesebelasan terbaik
Ubah saiz-+=