FAMA bantu Johor jual nanas Morris RM1 sebiji

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

RIM 17 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif bagi membantu memasarkan nanas Morris dari Johor pada harga RM1 sekali gus mengelakkan lambakan hasil tani itu dan kerugian kepada pekebun.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazalee Muhammad berkata, ia rentetan berlakunya lambakan nanas Morris yang tidak dapat dijual di Johor baru-baru ini.

“Kita sedia maklum dalam dua tiga hari ini ada lambakan nanas di Johor melibatkan daerah Muar, Kluang dan Batu Pahat

“Lambakan ini berpunca daripada pembatalan pembelian oleh pihak pemborong terhadap pekebun mengikut jadual pengeluaran ditetapkan, jadi FAMA Melaka dan Johor ambil inisiatif membeli hasil tani mereka (nanas) dan dijual di pasar tani dan juga outlet FAMA yang ada di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Program Promosi Nanas Morris Johor di Pasar Tani Jasin, hari ini.

GHAZALE menunjukkan produk dihasilkan yang menggunakan nanas Morris.

Mengulas lanjut katanya, nanas Morris memang mendapat permintaan tinggi kalangan pengguna di negeri ini dan setakat ini FAMA Melaka sudah memasarkan keseluruhan 6,000 biji.

“Pagi ini saja kita bawa 2.5 tan nanas dari Johor yang dijual pada harga serendah RM1 dan habis dijual dalam tempoh sejam dari 9 pagi,” katanya.

Katanya, setakat Isnin lalu, FAMA Johor telah membeli 118.17 metrik tan nanas Morris dengan nilai RM60,207.

“Bekalan itu diagihkan kepada FAMA Melaka untuk dipasarkan di semua rangkaian agensi termasuk Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, gerai buah-buahan segar dan pasar tani.

“FAMA Johor juga menganggarkan untuk meningkatkan lagi kuantiti belian sehingga 31 metrik tan melibatkan nilai belian RM31,000,” katanya.

Ujarnya, bagi mengelakkan masalah sama berulang, FAMA telah menubuhkan satu ‘task force’ untuk memastikan pelan tindakan pemasaran yang berkesan melalui pusat operasi FAMA dan outlet pemasaran FAMA di seluruh negara.

Views:

884
Kongsi :
Previous post Beribadah harus berpandukan nas dan dalil
Next post Polis buru pengasas produk kecantikan cium bibir kanak-kanak
Ubah saiz-+=