Fenomena air pasang besar jejas persiapan Krismas

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TELOK MAS 6 Dis – Kira-kira 1000 penduduk di Perkampungan Portugis, di sini, buntu apabila sebahagian persiapan untuk menyambut Hari Krismas terjejas apabila rumah mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar, sejak semalam.

Tinjauan di kawasan itu mendapati rata-rata rumah khususnya di Jalan Tesera terjejas teruk sehingga kelengkapan seperti perabot dan barangan elektrik rosak.

Penduduk Jennifer Savage, 64, berkata, dia langsung tidak menyangka fenomena air pasang besar kali ini menyebabkan rumahnya terjejas teruk dan persiapan yang dibuat untuk menyambut Hari Krismas juga terkesan.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam dia dan keluarga ke gereja berhampiran dan selepas pulang rumah mereka sudah dinaiki air separas 0.6 meter.

“Terkejut dan sedih apabila masuk ke dalam rumah, tiada apa yang dapat diselamatkan malah ada almari baju yang turut terbalik.

“Malah barangan dapur seperti beras dan gandum yang dibeli untuk memasak juadah Hari Krismas turut ditenggelami air,” katanya ketika ditemui dirumahnya, hari ini.

Katanya, sebelum ini beberapa kali pernah dimasuki air tetapi tidak seteruk semalam dan hari ini pun masih ada air.

“Minggu lepas kami sudah membina benteng dihadapan rumah untuk menghalang air masuk ke rumah tetapi, semalam air dari depan, belakang masuk begitu cepat,” katanya.

PENDUDUK Jennifer Savage, 64, menunjukkan benteng yang dibuat bagi menghalang air masuk ke rumahnya di Jalan Tesera.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Marina Linda Danker berkata, lebih 40 rumah di perkampungan itu terjejas dan kejadian fenomena air pasang besar semalam adalah yang terburuk sejak 10 tahun.

“Fenomena ini berlaku setiap tahun kali ini adalah yang terburuk dan apa membimbangkan keselamatan serta nyawa penduduk yang berdepan dengan haiwan berbisa.

“Ada yang sudah hias rumah dan terjejas malah kebanyakkan mengadu selain perabot, peti sejuk yang rosak jadi diharap kerajaan dapat tampil membantu,” katanya.

Katanya, dia yang mewakili penduduk harap tindakan segera dan jangka panjang dapat diambil oleh pihak berkuasa dalam membantu penduduk seperti membina saliran longkang baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post Pemimpin utama parti politik di Sarawak serah borang pencalonan
Next post Abang Johari ditentang tiga muka baharu di DUN Gedong
Ubah saiz-+=