Filem Showtime 1958 raih dua anugerah di ACA 2021.

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BIARPUN belum ditayangkan di pawagam negara ini, filem sulung terbitan Nafalia Corporation Sdn Bhd berjudul ‘Showtime 1958’ terus mengharumkan nama negara apabila merangkul dua anugerah di Asian Cinematography Awards (ACA) 2021 di Manila, Filipina, pada 24 Mei lalu.

Filem arahan pengarah terkenal Anwardi Jamil itu diiktiraf dalam dua kategori iaitu Pengarah Asia Terbaik dan Sinematografi Terbaik menerusi pengarah fotografinya, Norazam Mohd Yusoff.

Difilemkan pada 2019, Showtime 1958 ia mengangkat tema kisah benar seperti dikongsikan Allahyarham bapanya iaitu seniman Datuk Jamil Sulong dan diterbitkan oleh Farid Khaleeque Ahmad dan Tang Yen Yen.

Anwardi menulis sendiri karya itu yang berkisar kisah perit perjuangan anak seni yang belum pernah dikongsikan sebelum Studio Jalan Ampas, Singapura ditutup setelah 20 tahun beroperasi.

Menurut Farid Khaleeque dalam kenyataan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), ACA dianjurkan dua tahun berturut-turut oleh Persatuan Anugerah Sinematografi, sebuah persatuan yang menghargai dan mengiktiraf filem-filem sinematografi yang terbaik.

Katanya, sebelum ini Showtime 1958 yang menampilkan Fatin Afeefa dan Shah Iskandar sebagai teraju utama turut memenangi anugerah Runut Bunyi dan Muzik Terbaik di Karnival Filem Dunia 2021 di Singapura bulan lalu.

TANGKAP layar klip rasmi filem Showtime 1958 dalam siaran hitam putih. Foto – Anwardi Jamil  (YouTube).

“Showtime 1958 adalah sebuah cerita sebenar yang berlaku pada April 1958.

“Cerita ini adalah idea asal dan diinspirasikan oleh Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

“Pada Oktober 2020, Showtime 1958 tersenarai antara tiga filem terbaik bagi kategori
Filem Bahasa Asing Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Cardiff.

“Filem ini juga disenarai pendek dan tercalon dalam kategori Filem Musikal Terbaik di Cannes World Film Festival namun tewas kepada filem terbitan Amerika Syarikat bertajuk ‘Black Lives Matter – A Musical’,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, filem Showtime 1958 juga bakal ditayangkan di Paris pada Oktober depan dalam satu acara yang dipanggil “One Night with Malaysia”, sebuah acara yang meraikan dan menghargai hasil kerja dan ciptaan musik Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee.

Acara ini akan dianjurkan oleh INALCO, Institut Bahasa Paris dan Oriental Civilisations, L’ Ecole Des Haute Etudes En Sciences Socials dan Campus Condercet.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post 96 peratus rakyat Melaka patuh SOP PKP 3.0
Next post Proses kebenaran melalui CIMS merumitkan peniaga, ambil masa lama
Ubah saiz-+=