96 peratus rakyat Melaka patuh SOP PKP 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Kadar pematuhan rakyat Melaka terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencapai 96 peratus selepas empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh atau ‘total lockdown’.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tahap pematuhan itu meningkat selepas pihaknya menjalankan penguatkuasaan penuh atau ‘total enforcement’ di semua kawasan yang menjadi tumpuan rakyat selain meningkatkan pemeriksaan ketat di 15 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

Katanya, baki empat peratus mendapati rakyat masih culas dengan mengingkari SOP meskipun lebih setahun negara dilanda pandemik COVID-19.

KETUA Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali. Gambar fail

“Kita mendapati jumlah kenderaan yang berada di jalan raya kira-kira 18,000 sekali gus menjadikan jumlah itu berkurangan sebanyak 60 peratus daripada biasa.

“Bagaimanapun, kita kesal kerana ada segelintir masyarakat yang masih keluar rumah tanpa memakai pelitup muka di tempat awam malah keluar daripada rumah tanpa alasan munasabah meskipun PKP 3.0 penuh telah dikuatkuasakan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan pemantauan dan pematuhan rakyat terhadap SOP PKP 3.0, pihaknya meningkatkan jumlah SJR sebanyak 15 daripada 11 sebelum ini.

Jelasnya, jumlah itu termasuk lapan pasukan pemantauan SJR yang lokasinya berubah mengikut kesesuaian semasa.

“Di samping itu, kita meningkatkan pertambahan 19 pasukan pematuhan berpakaian preman dengan kekuatan 80 pegawai dan anggota di lokasi ‘panas’ serta tumpuan ramai.

“Pasukan pemantauan turut digerakkan di lokasi tertentu termasuk laluan tikus bagi mengelakkan orang ramai melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri,” katanya.

anggani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post 1.12 juta individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Next post Filem Showtime 1958 raih dua anugerah di ACA 2021.
Ubah saiz-+=