‘Floating market’ bakal beroperasi tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Mei – Pasar terapung atau ‘floating market’ ‘bakal beroperasi pada tahun hadapan sempena memeriahkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Datuk Tpr. Murad Husin berkata, ‘floating market’ yang diilhamkan dari negara luar itu dirancang dijangka beroperasi di Taman Lagenda dan bersifat satu hala.

Bagaimanapun, pihaknya mengambil kaedah berbeza yang mana orang ramai boleh membuat pembelian dari atas air mahupun di darat.

“Pengunjung yang menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) boleh singgah membeli secara terus dari bot termasuk pengujung yang datang dari darat.

“Kita akan memastikan perniagaan yang beroperasi nanti akan mengutamakan produk tumpuan Melaka seperti makanan masyarakat Portugis, Chetti, Baba dan Nyonya termasuklah barang-barangan kering dari Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Zulkiflee Mohd Zin dan Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Dalam pada itu katanya, setakat ini PPSPM sedang merangka kerja-kerja bagi memastikan produk baharu itu bakal beroperasi bagi memeriahkan TMM2024.

Katanya, pengoperasian pasar terapung itu mampu memperkasa produk usahawan negeri ini untuk diperkenalkan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Setakat ini projek membangunkan kawasan ‘floating market’ini sedang dibangunkan antara pemaju dan Kerajaan Negeri.

“Bot-bot perniagaan itu nanti akan disediakan kepada usahawan yang terlibat setelah kita membuka peluang ini pada mereka nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2939
Kongsi :
Previous post Warga JKR Melaka beraya sakan
Next post Teksi air tawar tambang serendah RM1
Ubah saiz-+=