
‘Formula 1’ di Tanjung Bidara
PEMINAT permainan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) dari seluruh negara berkumpul di Melaka sempena Kejohanan RC Offroad Challenge Melaka 2022 bertempat di RC Kupang, Kampung Balik Batu di sini, 31 Disember lalu.
Kejohanan itu julung kali diadakan selepas trek baharu yang serba lengkap dilihat mencapai standard menjalankan acara pertandingan RC berskala besar.
Penganjur kejohanan, Anuar Tompang, 52 berkata, trek yang dibina dengan permukaan karpet itu difahamkan adalah yang pertama di Malaysia.
βTrek ini kita bangunkan awalnya hanya untuk berskala kecil, main kereta βcontrolβ suka-suka sahaja sebab ramai orang Tanjung Bidara minat permainan ini.
βSelepas kita berjaya masuk dalam Liga Perlumbaan RC Malaysia yang dianjurkan di Putrajaya dan Johor, nampak semakin ramai yang serius.
βJadi dengan usaha penduduk dan disokong oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), kita bangunkan trek dengan menggunakan karpet sahaja. Kalau di luar negara litar begini sudah lama digunakan kerana lebih mencengkam dan tidak mudah menggelongsor daripada laluan,β katanya yang ditemui pada kejohanan itu.

Tambahnya, atas permintaan yang tinggi pihaknya juga telah mengemukakan cadangan untuk memindahkan litar itu ke Pantai Tanjung Bidara pada masa akan datang.
βSaya mengemukakan cadangan itu kepada MPAG kerana yakin lebih ramai orang akan menyertai sukan mahal ini lebih-lebih lagi bila ada litar di pantai peranginan, sekali gus dapat meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.
βSeperti kejohanan kali ini kita akan menyediakan kemudahan lain termasuk meja pit dilengkapi tempat mengecas, tempat pemandu mengawal kenderaan dan bengkel RC,β katanya.

Mengulas mengenai kejohanan tersebut, katanya sebanyak 80 penyertaan diterima biarpun baru pertama kali dianjurkan di Negeri Melaka.
Peserta RC dari seluruh negeri turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini menerusi beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya βbattleβ catatan masa terpantas, pecutan minyak dan besar skala.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


