‘Frontliners’ Hospital Melaka sumbang 206 beg darah

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PENGKALAN BATU 5 Februari – Doktor dan jururawat Hospital Melaka membuktikan tugas menyelamatkan pesakit bukan hanya berkisar di bilik rawatan dan dewan bedah sahaja, bahkan lebih daripada itu.

Ia terbukti apabila mereka yang digelar ‘frontliners’ itu turut bersama dalam menderma darah bagi membantu menambah stok bekalan darah yang sangat diperlukan bagi menyelamatkan nyawa.

Menerusi program Blood Donation Camp anjuran Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi bersama Unit Dewan Bedah Hospital Melaka pada 1 hingga 3 Februari lalu, sebanyak 206 beg darah berjaya disumbangkan doktor, jururawat dan warga kerja hospital berkenaan.

Jurucakap program, Dr. Zainariah Zainal Abidin berkata, program itu mencapai sasaran yang ditetapkan apabila disertai seramai 180 kakitangan yang tampil untuk turut sama menyumbang kepada stok bekalan darah Hospital Melaka.

Katanya, program selama tiga hari yang diadakan di Unit Tabung Darah Hospital Melaka itu merupakan antara inisiatif yang diadakan bagi membantu menambah stok darah yang semakin berkurangan ketika ini.

“Penderma program ini terdiri daripada kakitangan Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi serta Unit Dewan Bedah, selain turut mendapat penyertaan pelbagai kakitangan lain di Hospital Melaka.

“Kita menyasarkan kakitangan sendiri pada program ini memandangkan rata-rata kami merupakan yang paling dekat dengan pesakit dan kami juga boleh menderma ketika waktu bekerja, tanpa mengganggu tugas hakiki.

“Alhamdulillah, hasilnya sebanyak 79 beg darah berjaya dikumpul pada hari pertama, disusuli 71 dan 56 beg darah pada hari kedua dan ketiga, menjadikan keseluruhan 206 beg darah telah dikumpul untuk membantu pesakit yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG-20230205-WA0007
ANTARA warga kerja yang tampil menderma darah pada program Blood Donation Camp anjuran Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi bersama Unit Dewan Bedah Hospital Melaka.

Tambah Dr. Zainariah, kesemua kakitangan yang menyertai program berkenaan juga diberikan penghargaan berbentuk mata kredit Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) di bawah aktiviti ‘Community Development’.

Katanya, selepas ini pihaknya juga akan mengadakan beberapa lagi program kemasyarakatan lain termasuklah menziarahi keluarga penderma organ di Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2383
Kongsi :
Previous post APM tambah ilmu selam skuba
Next post Penunggang motosikal parah tercampak ke kubur
Ubah saiz-+=