Gagal lunas cukai taksiran, 47 rumah disita

Masa Membaca:58 Saat

JASIN 9 November – Sebanyak 47 pegangan rumah kediaman disita menerusi Operasi Sitaan Cukai Taksiran yang dijalankan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan kerjasama Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), sehingga 8 November tahun ini.

Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif berkata, jumlah sitaan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM99,038.86.

Katanya, kesemua sitaan melibatkan premis rumah kediaman dan industri dilaksanakan secara berperingkat.

“Untuk tempoh 1 Januari hingga 8 November 2023, sebanyak 47 pegangan rumah kediaman yang terlibat dengan operasi sitaan.

“Jumlah tersebut termasuk dengan lapan premis kediaman yang disita melibatkan Taman Balqis dan Taman Bukit Tembakau pada 8 November.

“Operasi sitaan telah dijalankan ke atas pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran RM1,000 ke atas dan yang telah melepasi tempoh bayaran 15 hari denda lewat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rosemanizam turut memaklumkan kesemua kediaman dan premis disita di bawah Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Rosemanizam turut menasihati pemegang cukai taksiran khususnya penduduk Jasin untuk melunaskan cukai taksiran.

“Kita harap pemegang cukai taksiran di Jasin melunaskan cukai taksiran setiap penggal atau setiap tahun tanpa tunggakan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6480
Kongsi :
Previous post TMM2024: Panda merah tarikan terbaharu Zoo Melaka
Next post TMM2024 mula jadi perhatian dunia
Ubah saiz-+=