TMM2024 mula jadi perhatian dunia

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 9 November – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) mula menjadi perhatian ejen kembara dunia yang mengambil bahagian pada World Travel Market London 2023 (WTM London 2023), United Kingdom (UK).

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, WTM London 2023 menyaksikan Pertukaran Perjanjian Kerjasama melibatkan Bel Travel & Tours, ejen pelancongan yang berpangkalan di Melaka bersama ejen kembara dari lima negara asing, sekali gus menunjukkan komitmen yang tinggi pelbagai pihak dalam bersama-sama menjayakan TMM2024.

Antara ejen pelancongan menandatangani perjanjian itu adalah TravelShop Turkey (Turkiye), Akbar Travel (India), Viet Experience Travel (Vietnam), Jane DMC Korea (Korea) dan Arabian Journey, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Kerjasama ini adalah bagi aktiviti mempromosikan industri pelancongan, terutamanya pelancongan ‘inbound’ ke Melaka, Malaysia.

“Perjanjian ini menandakan komitmen untuk kerjasama dalam meningkatkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terkemuka selain memanfaatkan kepakaran dan rangkaian setiap pihak untuk mempromosikan pelancongan ke Melaka.

“Secara tidak langsung perjanjian ini memupuk hubungan yang lebih rapat antara Malaysia, Turkiye, India, Vietnam, Korea dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang pelancongan,” tambah kenyataan berkenaan.

Delegasi yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pameran pelancongan terbesar dunia itu amat penting dalam usaha mengangkat Melaka sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Pada penganjuran sama turut berlangsung Majlis Perasmian TMM2024 di peringkat global yang disempurnakan Ketua Mneteri bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

Ab Rauf dalam ucapannya pada majlis itu turut mengambil kesempatan mengundang rakan-rakan dari UK dan seluruh dunia melancong ke Melaka sempena TMM2024 yang bakal menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

“Kempen sepanjang TMM2024 akan menampilkan pelbagai acara khas, promosi dan inisiatif yang direka dan diatur untuk memikat pelancong dan pengunjung dari seluruh dunia ke Melaka.

“Pelbagai aktiviti termasuk persembahan budaya, pameran seni, festival muzik dan pameran gastronomi yang akan mempamerkan kekayaan budaya dan warisan Melaka.

“Malah, kerjasama dengan agensi pelancongan dan pengendali pelancong akan membuatkan perjalanan ke Melaka lebih mudah dan mampu milik,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1118
Kongsi :
Previous post Gagal lunas cukai taksiran, 47 rumah disita
Next post ‘Pushbike’ tampil aksi comel si cilik
Ubah saiz-+=