Gajah betina mati di tepi jalan

PADANG TERAP, 15 Feb – Seekor gajah betina ditemukan mati di tepi Jalan Empangan Pedu di Kampung Pinang, Pedu di sini pagi tadi.

Gajah itu dijumpai oleh penduduk kampung yang keluar menoreh getah sebelum menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada kira-kira 8.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat terperinci mengenai punca kematian gajah berkenaan.

“Setakat ini tiada maklumat yang boleh saya bagi. Saya pun (perlu) tunggu keputusan dari pasukan forensik yang datang dari ibu pejabat (Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur) untuk bedah siasat (punca kematian gajah ini),” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Shazwan Ismail, 25, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk lain yang terserempak dengan gajah berkenaan semasa keluar menoreh getah pada kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Apabila sampai (di lokasi kejadian), saya dapati gajah ini sudah mati dan dalam keadaan terduduk, apabila diamati, terdapat kesan darah bersama najisnya yang berkemungkinan gajah betina ini termakan racun atau baja tanaman kebun.

“Penduduk kampung sudah lebih sebulan melihat sekumpulan tujuh ekor gajah berkeliaran di kawasan kebun getah mereka dan saya rasa gajah betina ini mungkin salah seekor daripada sekawan gajah berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Previous post Saguhati umrah: Pembukaan akaun Tabung Haji dilanjut sehingga Mac
Next post Bekalan ayam, telur mampu distabilkan dalam tempoh empat bulan – Ronald