Sorting by

×

GALERI MUNSYI ABDULLAH TARIKAN PELANCONGAN TERBAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Januari – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperkenalkan satu lagi produk pelancongan sejarah baharu menerusi pembukaan Galeri Munsyi Abdullah.

Terletak di Kampung Ketek di Jalan Tokong, di sini, galeri dua tingkat itu menerangkan mengenai mengenai tokoh kesusasteraan dan penerbitan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Munsyi Abdullah.

Struktur asal yang dikekalkan dengan hiasan dalaman yang dijaga keasliannya, setiap pengunjung pasti berasa di zaman silam sejurus melangkah masuk ke dalam galeri itu.

Selain memaparkan sejarah tentang anak watan Melaka itu, turut dikongsikan kepada pengunjung adalah sudut pandangan dan nasihat daripada Munsyi Abdullah.

Dengan adanya galeri itu, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada masyarakat termasuk pelancong untuk mengetahui dengan lebih jelas dan mengenali siapakah gerangan sebenar pengarang buku Syair Singapura Terbakar selain Syair Kampung Gelam Terbakar.

Sementara itu, Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, pembukaan galeri itu adalah hasil kerjasama pihaknya dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana ia membabitkan tanah wakaf milik agensi tersebut.

“Sebenar rumah Munsyi Abdullah ini sudah lama wujud malah difahamkan tokoh sasterawan itu bersama keluarga menetap di sini, jadi Kerajaan Negeri menerusi PERZIM mengambil inisiatif memulihara bangunan ini.

“Menggunakan peruntukan Caj Warisan Negari Melaka kita laksanakan Galeri Munsyi Abdullah ini dan dijangkakan ianya bakal dibuka kepada pengunjung pada Mac depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tapak Kerja Menaiktaraf Rumah Munsyi Abdullah yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Jelas Erne, pembukaan galeri itu secara tidak langsung akan menjadi produk pelancongan baharu selain menjadi tempat rujukan ilmiah.

“Ia boleh menjadi antara produk pelancongan sejarah dan juga lokasi bagi tujuan pendidikan termasuk ilmiah dalam kalangan pengkaji atau peminat tokoh sasterawan ini.

“Perancangan kita, kemungkinan untuk masa akan datang akan diadakan program bersiri antaranya bengkel berkaitan tentang penulisan Munsyi Abdullah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1027
Kongsi :
Previous post PERTANDINGAN ‘JOM LAWAT DAN MENANG’ ZOO MELAKA DILANJUTKAN
Next post TUNAI AMANAH HADIAHKAN ‘SYURGA’ BAHARU