
PERTANDINGAN ‘JOM LAWAT DAN MENANG’ ZOO MELAKA DILANJUTKAN
AYER KEROH 28 Januari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melanjutkan tarikh tutup Pertandingan Jom Lawat dan Menang Zoo Melaka sehingga 31 Disember 2025.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata pertandingan bermula 1 Januari 2024 itu sepatutnya berakhir Disember lalu.
Katanya, pelanjutan pertandingan tersebut adalah bersempena Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) dan lanjutan Tahun Melawat Melaka.
“Pelanjutan ini juga membuka peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk mengambil bahagian, menerusi pembelian tiket bernilai RM300 dalam satu resit mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM24,000.
“Mereka mahu mengambil bahagian boleh imbas QR kod dan lengkapkan data pada borang disediakan dan lampirkan resit semasa penghantaran. Seterusnya klik suka dan ikuti laman rasmi Zoo Melaka di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok Zoomelakaofficial.
“Pengunjung perlu mengambil gambar menarik di reruai foto ‘Visit and Win’ Zoo Melaka dan muat naik di laman sosial mereka dengan hashtag #zoomelakavisit&win24,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata hadiah utama ditawarkan bernilai RM8,000; kedua RM5,000; ketiga RM3,000 dan 15 hadiah sagu hati bernilai RM500.
“Pemenang akan dimaklumkan menerusi media sosial rasmi Facebook Zoo Melaka pada Januari 2026 atau tarikh yang akan ditentukan oleh pihak pengurusan nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.