
TUNAI AMANAH HADIAHKAN ‘SYURGA’ BAHARU
ASAHAN 28 Januari – ‘Tolong tengok-tengokkan keluarga saya’ menjadi kata-kata terakhir yang dizahirkan seorang insan bergelar suami sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat kanser pada 2023 yang lalu.
Kata-kata itu menjadi amanah yang dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan bagi membantu balu dan anak-anak Allahyarham Noorsyam mendiami kediaman lebih selesa.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, amanah itu tertunai pada tanggal 27 Januari bersamaan Hari Israk Mikraj, selepas sebuah rumah baharu menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2024 diserahkan kepada isteri Allahyarham, Norsyuhada Lokman.
Jelas beliau, rumah itu dibina di Lot 15202, Jalan Batang Melaka, Kampung Jus, Selandar untuk keluarga kecil itu membina kehidupan baharu yang lebih selesa selepas kehilangan ketua keluarga.
“Kisah keluarga ini amat menyentuh hati saya, di mana sebelum arwah suaminya meninggal dunia arwah pernah minta saya bantu keluarganya dan alhamdulillah amanah itu tertunai.
“Saya percaya rezeki ini adalah ketentuan Allah SWT yang penuh rahmat buat Puan Norsyuhada dan keluarganya.
“Semoga rumah ini menjadi tempat yang penuh keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat keluarga ini. Ini bukan sekadar sebuah rumah, tetapi lambang kasih sayang dan usaha bersama kita dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut merakamkan ucapan penghargaan kepada TNB di atas inisiatif mulia dalam membantu insan memerlukan mendiami kediaman lebih selesa dan menjalani kehidupan lebih bermakna.
“Ucapan terima kasih juga kepada pihak kontraktor yang berjaya menyiapkan rumah ini dalam tempoh sebulan sahaja. Keprihatinan dan kecekapan semua pihak amat saya hargai,” katanya.
Untuk rekod, Program Baiti Jannati TNB telah bermula sejak tahun 2007 bagi membantu dalam pembinaan rumah baharu, baik pulih dan membiayai pembelian rumah untuk asnaf daripada golongan fakir, miskin, ibu atau bapa tunggal, keluarga B40 dan orang kurang upaya OKU.
Sepanjang tahun 2024 sahaja, sebanyak empat penerima telah menerima dana manfaat daripada program berkenaan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM400,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.