Gambar obor-obor tular boleh jejas pendapatan nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 9 Julai – Penularan gambar dan fakta yang tidak benar mengenai kehadiran obor-obor spesis beracun dan berwarna kemerahan memberi kesan terhadap pendapatan nelayan di Pantai Puteri.

Ketua nelayan Pantai Kundor dan Pantai Rombang Azmi Leman berkata, dia terkilan terhadap sikap individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambar tidak tepat sehingga mengundang kegusaran dalam kalangan pelancong tempatan untuk berkunjung ke pantai terbabit.

“Selepas gambar dan berita itu menjadi tular, perniagaan penjual ikan dan nelayan sedikit sebanyak terkesan kerana orang ramai takut hendak datang ke Pantai Puteri,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata kehadiran obor-obor sering dilihat berada di persisiran pantai antara bulan Mei hingga Ogos mengikut arus dan arah angin.

Katanya, kehadiran obor-obor di kawasan ini sememangnya wujud namun apa yang digambarkan sebagaimana tular itu adalah tidak benar.

“Kita penduduk tempatan lebih mengenali situasi dan tular menunjukkan imej kehadiran obor-obor bersepah di sepanjang pantai serta membabitkan kehilangan nyawa adalah tidak benar,” katanya.

Sarinah Shamsudin

Sementara itu, penduduk setempat, Sarinah Shamsudin berkata anak perempuannya yang berusia 9 tahun terkena hidupan laut itu minggu lalu dan dia terus membawa anaknya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, obor-obor yang kelihatan di sekitar kawasan pantai berwarna putih sebagaimana yang biasa dilihat orang ramai dan bukannya berwarna kemerahan seperti dalam gambar tular tersebut.

“Setakat ini selama saya ulang-alik pergi ke pantai memang tidak pernah jumpa obor-obor berwarna merah seperti yang ditularkan,” katanya.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Jangkitan sifar tempatan kali kedua di Malaysia
Next post Belian minyak masak terpakai bantu industri biodiesel
Ubah saiz-+=