Ganjaran menanti Sukarelawan Terbaik TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 16 September – Sukarelawan atau ‘volunteer’ yang menjayakan sebahagian besar program sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diberikan ganjaran sekali gus dianugerahkan Sukarelawan Terbaik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penghargaan itu diberikan sebagai menarik kesungguhan mereka untuk terus membantu Kerajaan Negeri menaikkan nama Melaka.

“Mana-mana sukarelawan yang dapat menjayakan sebahagian besar program dianjurkan sempena TMM2024 ini akan dianugerahkan Sukarelawan Terbaik.

“Hadiahnya macam-macam ada, mungkin kita boleh hantar mereka melancong ke destinasi lain, mungkin ada kalangan mereka ini berminat untuk terus berkhidmat dalam sektor pelancongan dan memilih industri itu sebagai kerjaya mereka, jadi kita akan mengasuh mereka menjadi warga Melaka terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Volunteer TMM2024 di sini hari ini.

IMG_0893
Sebahagian sukarelawan yang hadir ke Majlis Pelancaran Sukarelawan /Volunteer / Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 di Hatten Hotel, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.

Terdahulu, Abdul Razak dalam ucapannya secara santai memohon Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan insentif yang boleh diberikan kepada sukarelawan berkenaan.

Sebagai menjawab permintaan itu, Ab Rauf berkata, pihaknya akan mengkaji dan meneliti insentif yang bersesuaian.

“Kita akan mengkaji sebaik mungkin untuk anak-anak muda ini walaupun menjadi sukarelawan tetapi insentif atau imbuhan itu kita sedang buat kajian.

“Ada tempat-tempat menarik dan ada bayaran kepada pengunjung dan jumlah pengunjung yang dibawa oleh ‘volunteer’ itu sendiri boleh diberikan sedikit komisyen ataupun imbuhan saguhati kepada dan kita sedang mengkaji sistem itu, semuanya akan dapat insya-Allah.

“‘Volunteer’ini tidak ditetapkan waktu dan jumlahnya terserah kepada mereka untuk hadir, asalkan mereka sudah mengikuti kursus dan pasport ‘volunteer’, mereka mahu hadir, kita akan beritahu lokasi mana yang mereka perlu pergi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

998
Kongsi :
Previous post 300 duta pelancongan Melaka dipilih sempena TMM2024
Next post TMM2024 tampil pelbagai tema setiap bulan
Ubah saiz-+=