TMM2024 tampil pelbagai tema setiap bulan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BEMBAN 16 September – Pelbagai tema akan ditampilkan pada setiap bulan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, tema berbeza itu menjadi antara kelainan yang dibawa dalam merancakkan kedatangan pelancong ke Negeri Melaka tahun depan.

Menurut beliau, tema pertama yang akan dibawa ialah pelancaran besar-besaran TMM2024 pada Januari tahun depan dan diikuti pelbagai lagi pengisian menarik untuk pelancong dalam dan luar negara.

“Kita telah bersedia dengan 34 acara atau program besar tahun hadapan, selain 72 program kecil lain yang turut dirancang.

“Setiap bulan, kita akan menampilkan tema pelancongan yang berbeza-beza dan ini pastinya menambah kemeriahan Melaka yang terkenal sebagai kota pelancongan.

“Selain itu, pengunjung yang bermalam di hotel-hotel terpilih di Melaka juga berpeluang membawa pulang cabutan bertuan empat buah kereta Proton X70,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Golf Antara Kelab-Kelab Melaka (MICTC) di sebuah pusat golf di Jalan Gapam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan Presiden Persatuan Golf Negeri Melaka Datuk Wira A.S Khamis.

Tambah Ab Rauf, sukan golf juga bakal menjadi antara tarikan acara yang akan dimasukkan dalam kalender TMM2024.

Katanya, walaupun golf bukanlah sukan yang untuk semua orang, namun sukan itu mempunyai karakter tersendiri yang berupaya merancakkan kehadiran pelancong ke negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Ganjaran menanti Sukarelawan Terbaik TMM2024
Next post TMM2024: Kejohanan golf Melaka tawar 3 buah kereta
Ubah saiz-+=