‘Gelanggang berkecuali demi kebaikan bersama’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KRUBONG 3 Okt. – Melaka United merakamkan setinggi penghargaan kepada pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) yang memberi lampu hijau untuk mengubah lokasi perlawanan Liga Super menentang Kedah di stadium berkecuali meskipun menghantar permohonan pada saat-saat akhir.

Pengurus Pasukannya Muhammad Akram Abdullah, ucapan terima kasih juga perlu diberikan kepada pasukan Kedah yang begitu memahami dan sudi mencapai kata sepakat untuk aksi tersebut.

Menurutnya, perubahan lokasi stadium berkecuali adalah keputusan terbaik demi kebaikan kedua-dua pasukan memandangkan pandemik COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini.

“Bagi pihak Melaka United, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pasukan Kedah kerana memahami situasi terkini Pandemik COVID-19 dengan mencapai kata sepakat untuk beraksi Kuala Lumpur bagi perlawanan ke-10 Liga Super 2020 menentang Melaka United pada Isnin ini (5 Oktober 2020).

“Kami juga ingin menzahirkan rasa berbesar hati kami apabila pemimpin kedua-dua negeri iaitu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor yang prihatin dengan situasi semasa COVID-19 ketika ini dengan telah mencapai kata sepakat untuk perlawanan ini dipinda ke gelanggang berkecuali demi kebaikan bersama.

“Diharapkan keselamatan dan kesihatan  para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan akan lebih terjamin dengan keputusan ini dan kedua-dua pasukan bakal memberikan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Terdahulu, MFL mengumumkan aksi membabitkan Kedah dan Melaka United yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok ditunda ke hari Isnin.

Kedua-dua pasukan juga terpaksa beraksi di stadium berkecuali iaitu di Stadium Cheras ekoran kes positif COVID-19 di Kedah kini berada di tahap membimbangkan.

Views:

338
Kongsi :
Previous post COVID-19: SOP di masjid dan surau akan diperkemas
Next post COVID-19: Tiada PKP, rentas negeri
Ubah saiz-+=