Geng Micheal tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BATU BERENDAM 17 Jan- Polis Melaka menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki disyaki dalang utama dikenali sebagai Geng Micheal terbabit dalam kegiatan pecah masuk stor simpanan peralatan membaiki kenderaan pada 15 Jan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada pemilik stor berkenaan memaklumkan premisnya dipecah masuk dan kehilangan beberapa barangan termasuk dokumen kerja pada jam 11.40 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah dan menahan suami isteri masing-masing berusia 48 tahun dan dalang utama berusia 39 tahun lima jam kemudian di Taman Merdeka Jaya, di sini.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas sebatang alat pemotong yang digunakan suspek untuk memotong kunci mangga kedai dan barangan hasil curi termasuk beberapa kotak minyak hitam dan minuman keras yang disimpan di rumah tersebut .

“Perancang utama kes terbabit mempunyai lapan rekod dadah dan sembilan rekod jenayah lampau ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Christoper berkata, berdasarkan risikan pihaknya, Geng Michael itu telah aktif melakukan aktiviti pecah masuk stor sejak awal Jan lalu dan difahamkan kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Jan ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post Kekal patuhi SOP COVID-19 ketika Thaipusam dan Tahun Baharu Cina – Khairy
Next post PAS perkukuh jalinan kerjasama dengan Perikatan Nasional
Ubah saiz-+=