Gesa KKM tubuh jawatankuasa inkuiri khas siasat punca kematian doktor pelatih HPP

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

GEORGE TOWN, 5 Mei – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) agar menubuhkan satu jawatankuasa inkuiri khas untuk siasat punca kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penubuhan jawatankuasa itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengelak insiden serupa daripada berulang terutama melibatkan doktor pelatih di negara ini.

“KKM dan pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku dan pada masa sama, mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutama membabitkan tempoh penugasan doktor di institusi perubatan ketika ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata strategi dan jalan penyelesaian yang wajar perlu disegerakan demi menjamin sistem perubatan negara secara menyeluruh.

Pada 17 April lepas, doktor pelatih itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Pada Selasa lepas, sebuah portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan seorang doktor pelatih HPP ditemukan meninggal dunia setelah dipercayai terjatuh dari bangunan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, beliau berkata polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes itu sekiranya menemukan bukti baharu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Pontian kekal 168 orang
Next post Cadang bangunkan pengkalan data tarik pelancong ke Melaka
Ubah saiz-+=