Guru ekonomi SMK Seri Tanjung johan Pidato Rukun Negara

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 9 Sept. – “Saya harap kejayaan saya dapat beri inspirasi kepada anak murid untuk berjaya.”

Itu harapan disuarakan Mohd Amiruddin Md Nor, guru subjek ekonomi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung yang dinobatkan johan Pidato Rukun Negara kategori umum di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC), semalam.

Selaku johan, dia membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri.

Jelas anak jati Melaka itu, pada awalnya dia langsung tidak menyangka dapat mara sejauh ini hingga ke peringkat akhir, namun berkat sokongan pelbagai pihak memberi sumber kekuatan untuknya menampilkan persembahan terbaik menewaskan dua lagi finalis lain.

“Sebenarnya kali terakhir saya berpidato ialah pada 2004 ketika saya Tingkatan Enam dahulu. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT saya berjaya muncul johan untuk pertandingan kali ini.

“Terima kasih atas sokongan isteri, keluarga dan rakan-rakan di SMK Seri Tanjung yang banyak memberikan kekuatan dan galakan untuk saya sampai ke tahap ini,” katanya.

Sementara itu, kejutan tercipta dalam Pidato kategori Institut Pengajian Tinggi apabila peserta berbangsa India, S. Lingkeswaran, 18, muncul johan menewaskan kira-kira 30 peserta yang menyertai kategori berkenaan.

Dia yang mewakili Kolej Matrikulasi Londang menganggap kejayaan itu begitu bermakna dalam membuktikan perpaduan dan semangat cintakan negara dalam masyarakat berbilang kaum masih utuh sehingga hari ini.

“Saya berharap penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan anak muda yang bukan berbangsa Melayu akan terus diperkasakan selepas ini. Sebenarnya, bahasa Melayu tidaklah sesukar mana. Kita hanya perlu jadikan amalan harian kita untuk berbual serta menanamkan semangat cintakan tanah air,” kata anak jati Selangor itu.

Bagi kategori Sekolah Menengah, wakil dari SMK Telok Mas, Ainul Danish Salahhuddin, 13 dan Muhammad Najdi Hakim Muhamad, 14, yang menampilkan pidato secara berduet diumum johan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala pusingan TYT.

Kategori Sekolah Rendah pula menyaksikan Nurul Nasuha Abdul Malek dan Nur Khairina Alya Noor Azwan, 12, wakil Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Demang Hussin muncul pemenang utama untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan piala pusingan TYT.

Manakala, anugerah khas juri diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Fong 2 dan SK Bukit Beruang yang menghantar penyertaan daripada pelajar berbangsa cina.

Kesemua hadiah telah disampaikan sendiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Views:

840
Kongsi :
Previous post Bakal jadi acara tahunan
Next post Aiman Shafiq dilantik YDP Majlis Perwakilan Pelajar UTeM
Ubah saiz-+=