Hairan rumah kerap dimasuki air lumpur

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 2 September – Penduduk 10 kediaman di Taman Bidara Palma dan Taman Bidara Emas, di sini, hairan berikutan kediaman mereka kerap dimasuki air lumpur setiap kali berlaku hujan lebat.

Terbaharu dalam kejadian hujan lebat awal pagi tadi kediaman mereka sekali lagi dimasuki air lumpur.

Namun nasib pemilik kediaman terbabit mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tampil menghulur bantuan kepada mangsa.

Sumbangan kepada mangsa yang terjejas disampaikan Datuk Wira Md Rawi Mahmud, mewakili Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

WhatsApp Image 2022-09-02 at 5.11.21 PM
MD Rawi meninjau kediaman penduduk yang terjejas.

Md Rawi berkata, air lumpur berkenaan dipercayai kesan aktiviti penarahan bukit berhampiran Taman Bidara Palma.

“Penduduk terpaksa habiskan masa untuk bersihkan kediaman mereka, sementara itu Taman Bidara Emas pula longkangnya tidak dapat menampung air yang terlalu banyak.

“Perkara ini sudah dibawa ke pengetahuan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan pegawai berkenaan sudah turun padang untuk mendapatkan kepastian kerja tanah dijalankan mendapat kebenaran atau tidak,” katanya.

Menurutnya, MPAG juga akan mencari penyelesaian berhubung masalah itu termasuk cadangan membina longkang yang lebih baik.

Beliau berkata, lumpur tebal yang mendap dipermukaan jalan raya selepas air surut turut menyulitkan pergerakan penduduk di taman berkenaan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1372
Kongsi :
Previous post Bantu nelayan miliki lesen bot pelancong sah
Next post Jangan jadikan masjid gelanggang politik – Agong
Ubah saiz-+=