Hakisan Pantai: Kerja pemulihan bermula Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 28 Okt. – Kerja-kerja pemulihan bagi membaik pulih hakisan pantai di beberapa lokasi di negeri ini dijangka dijalankan menjelang Disember nanti.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abd. Hakim Hamzah berkata, kerja-kerja jangka masa pendek membabitkan struktur penahan hakisan akan dilaksanakan terlebih dahulu sebagai tindakan awal bagi memastikan keadaan di lokasi terjejas terkawal.

Katanya, tindakan awal terbabit akan dilaksanakan menerusi peruntukan sedia ada dari agensi itu sendiri, sementara menunggu permohonan lain diluluskan bagi meneruskan pemulihan pantai terlibat.

“JPS akan memulakan kerja-kerja pemulihan dan dijadualkan (bermula) pada Disember nanti menerusi peruntukan sedia ada dan akan menumpukan di kawasan yang paling terjejas terlebih dahulu.

ANTARA kawasan Pantai Puteri yang terhakis teruk. Foto Syaf Rumaizie Syafie

“Kita akan menyenaraikan 10 lokasi paling terjejas mengikut keutamaan dalam senarai dan kerja-kerja pemulihan jangka masa pendek ini akan memakan masa sekitar enam bulan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, ujarnya, beberapa lokasi yang terjejas akibat hakisan itu sejak minggu lalu telah menunjukkan perubahan positif akibat pergerakan air dan fenomena semula jadi berlaku di kawasan berkenaan.

“Di beberapa lokasi di Kuala Sungai Baru dilihat semakin berkurang disebabkan pergerakan peralihan cuaca yang menjadikan fenomena semula jadi ini berlaku.

“Bagaimanapun JPS tetap akan meneruskan kerja-kerja pemulihan ini dengan memfokuskan di kawasan yang terpenting dengan menumpukan kawasan paling terjejas terlebih dahulu,” katannya.

Views:

554
Kongsi :
Previous post Juara dunia 100m tidak dapat beraksi di Olimpik Tokyo, digantung dua tahun
Next post DMDI lancar tabung khas bantu mangsa banjir Kemboja
Ubah saiz-+=