Hakisan pantai: Pantai Puteri di zon kritikal
PANTAI KUNDOR 9 Sept. – Hakisan yang berlaku di Pantai Puteri, di sini, kini berada di tahap kritikal apabila kelihatan beberapa pokok rhu yang ditanam sejak 30 tahun lalu mula menyembah bumi.
Bukan itu sahaja, tinjauan Melaka Hari Ini di sekitar pantai berkenaan turut mendapati kawasan parkir dan bangunan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kian terhakis dan retak serta menunggu masa untuk rebah jika tiada tindakan diambil dalam masa terdekat.
Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan yang meminta pihak berwajib menyediakan pelan jangka pendek untuk mengatasi perkara ini tambahan pula, sudah tiba fasa bulan baharu yang akan membawa gelombang air pasang besar secara luar biasa yang dijangka berlaku pada September dan Oktober.
“Satu persatu pokok sudah tumbang dan kini bahagian Menara APM, tempat kapal layar serta kawasan parkir kenderaan berhampiran Pentas Budaya Pantai Puteri kian menunjukkan keretakan. Boleh dikatakan kawasan ini semakin terhakis dengan teruk dalam sehari dua ini.
“Tahun-tahun sebelum ini pernah juga berlaku fenonema air pasang besar hingga melimpah ke jalan raya, tapi tidak pula terjadi hakisan teruk seperti sekarang.
“Sekarang, air sudah mula menghampiri jalan raya. Boleh dikatakan jarak hanya 10 meter untuk sampai ke jalan raya. Saya bimbang kalau tiada tindakan diambil, maka tiada lagi Pantai Puteri selepas ini,” katanya yang ditemui selepas mengadakan tinjauan di pantai berkenaan pagi tadi.
Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, keadaan hakisan itu kian memburuk apabila tambakan pasir yang telah dilakukan kira-kira tiga bulan lalu dengan peruntukan hampir RM2 juta, sudah menunjukkan tanda kerugian apabila tambakan itu turut terhakis berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku.
Justeru, beliau meminta agar kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dapat meneliti kertas kerja terbaharu untuk mengurangkan hakisan laut menggunakan kaedah ‘Geotube’ yang dianggarkan bernilai RM15 juta.
“Kaedah Geotube ini sudah diguna pakai di Port Dickson, Tanjung Gemuk dan beberapa tempat lain lagi yang menunjukkan kejayaan dalam mengatasi masalah hakisan pantai. Jadi, saya harap projek ini dapat diteliti dan jika menepati ia boleh diluluskan segera di sepanjang 2.5 kilometer pantai ini.
“Saya berharap isu ini dapat diberi perhatian utama yang mana saya sendiri akan bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan pada masa sama saya juga bercadang mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan Kerajaan Pusat membantu menyelesaikan masalah hakisan yang kian membimbangkan ini,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan di Pantai Puteri, Mahat Jantan, 63, mengakui perniagaannya kian di ambang kerugian jika masalah hakisan pantai tidak diatasi segera.
Katanya, sebelum ini pihaknya sudah kerugian beribu-ribu ringgit apabila bangsal yang meletakkan hasil tangkapan nelayan roboh angkara ribut dan hakisan yang berlaku.
“Kita berada di kawasan pelancongan. Kalau masalah ini tidak diatasi segera memang habislah perniagaan penduduk tempatan di sini.
“Dulu orang suka datang sini sebab Pantai Puteri redup ada banyak pokok rhu. Tapi tengoklah sekarang, hanya tinggal sebaris sahaja pokok rhu yang ada. Lama-lama, kalau tiada tindakan diambil memang habislah semuanya,” katanya.
Nada sama turut diakui peniaga buah-buahan, Mohd Faizal Hassan yang menyifatkan keadaan pantai berkenaan semakin hilang serinya akibat masalah hakisan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
“Memang ramai pelanggan datang dan mengadu kepada saya keadaan pantai tidak sama seperti dahulu. Tapi nak buat macam mana, saya cuma harap sesuatu dapat dilakukan segera untuk mengatasi masalah ini.
“Saya risau kalau tiada tindakan diambil, lama kelamaan orang tidak mahu lagi datang ke pantai ini dan itu sudah pasti akan menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga di kawasan ini,” katanya.