Halal On Track Melaka 2023 buka tirai KIAM’23

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PAYA RUMPUT 28 Disember – Karnival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM’23) bermula hari ini membuka tirai dengan empat program utama yang dilangsungkan di Masjid Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin) dan Perkarangan Stadium Hang Jebat.

Pengarah Program KIAM’23, Murad Ahmat berkata empat program tersebut antaranya adalah Halal On Track (HOT) Melaka 2023; Saringan Peserta Hafazan Al-Quran; Ijtimak Murabbi dan Forum Perdana.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkata, KIAM’23 yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkonsepkan karnival patuh syariah.

“Sasaran kami pada KIAM’23 adalah memberikan sajian rohani dan jasmani yang sarat dengan program menambah ilmu kepada pengunjung bersempena tahun baharu dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Penganjuran KIAM’23 berbeza daripada karnival Islamik yang lain, dengan kombinasi dan kolaborasi ‘Havoc Food Festival’ yang menyajikan vendor viral, makanan halal tempatan serta luar negara.

“Lebih menarik lagi, KIAM’23 datangkan khas penceramah ternama seperti Sheikh Zainal Abidin dan Ustad Fadlan Garamatan dari Papua New Guinea atau juga dikenali sebagai Ustad Sabun yang terkenal kerana pernah mengislamkan ribuan orang pada 29 Disember,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1703675992
PENGARAH Program KIAM’23, Murad Ahmat. Foto MR AZLI

Mengulas lanjut, Murad berkata pada 30 Disember pula, antara program besar pada KIAM’23 adalah Bandaraya Melaka Berselawat 2023.

“Pada program Melaka Bandaraya Berselawat 2023 ini kita sasarkan lebih 40,000 pengunjung akan hadir ke Stadium Hang Jebat bermula 7 malam hingga 12 tengah malam.

Menurutnya lagi, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman dijadualkan hadir memeriahkan Majlis Khatam Al Quran Perdana pada 1 Januari.

“Manakala pada 31 Disember pula KIAM’23 membawakan kursus perkahwinan Islam Rahmah Perdana, pertandingan congkak terbuka dan persembahan buskers. KIAM’23 akan menutup tirai pada jam 11 malam 1 Januari 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1400
Kongsi :
Previous post Penari cilik teruja beraksi di pentas pelancaran TMM2024
Next post Perodua Bezza menanti pengunjung bertuah KIAM’23
Ubah saiz-+=