Hampir 10,000 pekerja TNB bertugas pada Aidilfitri, pastikan bekalan elektrik stabil

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 30 April – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 10,000 tenaga kerja pelbagai peringkat di sektor kritikal rantaian perkhidmatannya di Semenanjung demi memastikan kestabilan bekalan elektrik ketika perayaan Aidilfitri minggu depan.

Penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen-stesen jana kuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata pemantauan di setiap negeri juga ditingkatkan menjelang Aidilfitri dengan jangkaan orang ramai pulang lebih awal ke kampung halaman untuk berhari raya.

“Tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal dengan jangkaan penggunaan tenaga elektrik meningkat berikutan orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri diikuti pelbagai aktiviti sambutan dua hari berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menghargai pekerja yang bertugas pada hari raya, sebanyak 9,900 pek kuih raya disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) dari lapan cawangan di sekitar Lembah Klang.

Pengerusi TNB Datuk Seri Hasan Arifin turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua pekerja berkenaan yang berkorban dengan berada di lapangan ketika orang lain menyambut perayaan bersama keluarga. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post Model perniagaan baharu mampu lonjak semula ekonomi Melaka
Next post Tradisi mantai kembali meriah
Ubah saiz-+=