Hampir 2,500 mualaf di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LINGGI 11 Mac – Melaka merekodkan seramai 2,483 mualaf sejak 2010 hingga tahun lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Menurut beliau, untuk bulan pertama tahun ini sahaja seramai 23 lagi mualaf direkodkan selepas mereka memeluk agama Islam di Negeri Melaka.

Katanya, susulan peningkatan saudara baharu di negeri ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah memperuntukkan lebih RM13 juta pada 2023 khusus bagi bantuan kebajikan golongan tersebut.

“Peruntukan tersebut meningkat RM5 juta berbanding tahun lalu merangkumi bantuan kebajikan, bantuan makanan secara bulanan, bantuan anak-anak mualaf, bantuan sara diri bulanan, bantuan perubatan dan pelbagai lagi.

“Peningkatan itu juga seiring dengan kos sara diri dan kenaikan harga barangan di pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen SALAM yang diadakan di Auditorium Ibn Khaldun UNIMEL, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Hadir sama, Setiausaha MAIM Muhammad Ikram Ibrahim selain Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan Korporat UNIMEL Ts. Dr. Yuseni Abd Wahab.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menggesa semua pihak memainkan peranan dalam melaksanakan dakwah mualaf di negeri ini.

Katanya, sama ada badan bukan kerajaan (NGO), masjid, surau, rakan sekerja, pasangan hidup, ahli keluarga dan pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan bukan sahaja dalam dakwah tetapi juga bimbingan kepada mualaf.

“Sifat peka dan ambil berat akan kebajikan mualaf perlu dipupuk dalam kalangan kita semua memandangkan ada sebahagian mualaf disisihkan keluarga.

“Maka, umat Islam perlu memperlihatkan keindahan Islam dengan menyediakan perlindungan dan bantuan sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1640
Kongsi :
Previous post SALAM medan mualaf dalami ilmu agama Islam
Next post Calon dipilih ukuran UMNO pada masa akan datang – Ab Rauf
Ubah saiz-+=