Hanya 10 peratus rakyat Melaka ‘berani’ periksa gigi

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

DUYONG 20 Mac – Hanya 10 peratus penduduk di negeri ini berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan gigi secara berkala, kata EXCO Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, peratusan itu dilihat amat rendah berbanding kepentingan dalam aspek penjagaan kesihatan mulut.

Menurutnya, stigma yang menganggap doktor gigi menakutkan menjadi antara penyebab kurang minat orang ramai melakukan pemeriksaan gigi.

“Mereka hanya akan berjumpa doktor gigi bila sakit gigi, itu pun sudah terpaksa.

“Tetapi sebenarnya melakukan pemeriksaan setiap tiga bulan perlu dijadikan amalan setiap dari kita.

“Kalau tidak mampu berjumpa doktor gigi setiap tiga bulan, sekali setahun sudah mencukupi demi menjaga kesihatan mulut secara menyeluruh,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas menyempurnakan perasmian Hari Kesihatan Mulut Sedunia dan program Kampung Angkat Pergigian Kampung Jambatan Duyong di sini, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Pergigian), Dr Tan Ee Hong.

MUHAMAD Akmal mendengar keterangan mengenai kepentingan pemeriksaan gigi oleh petugas Bahagian Kesihatan Pergigian negeri sempena program Hari Kesihatan Mulut Sedunia dan Kampung Angkat Pergigian Kampung Jambatan Duyong.

Menurut Muhamad Akmal, dianggarkan secara purata hanya seorang daripada 10 penduduk dewasa di negeri ini pernah membuat pemeriksaan gigi.

Manakala selebihnya, kata beliau, tidak pernah berjumpa doktor gigi untuk membuat pemeriksaan gigi.

“Selain tidak tahu kepentingan memeriksa gigi bagi kesihatan mulut, orang ramai juga ‘kurang selesa’ bertemu doktor gigi kerana bagi mereka ia amat menakutkan,” katanya.

Katanya, orang ramai masih tidak mengetahui kepentingan pemeriksaan dan merawat kesihatan gigi lebih awal berbanding mencabut gigi dikala kecemasan.

Sehubungan itu, katanya, Bahagian Kesihatan Pergigian negeri mengambil inisiatif menganjurkan program Kampung Angkat Pergigian bagi membolehkan agensi itu bertemu secara langsung dengan penduduk.

Usaha itu, ujar beliau, membolehkan petugas kesihatan pergigian bertemu terus dengan orang ramai tanpa perlu penduduk bersusah payah mendapatkan rawatan pergigian di klinik kesihatan.

“Misalnya sempena program Kampung Angkat Pergigian ini, kita memilih Kampung Jambatan Duyong sebagai lokasi pertama program.

“Melaluinya, pelbagai kemudahan pemeriksaan gigi disediakan termasuk penerangan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut,” katanya.

Ujar beliau, program tersebut akan diperluaskan ke lokasi lain yang akan dikenal pasti nanti oleh Bahagian Pergigian negeri.

Usaha itu katanya, penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeriksaan gigi sekali gus memelihara kesihatan mulut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post Amaran keras kepada syarikat televisyen tidak jaga sensitiviti agama, rakyat – Annuar Musa
Next post Persekutuan Pekilang rayu kerajaan pertimbang semula pelaksanaan gaji minimum RM1,500
Ubah saiz-+=