Hanya satu kes kecuaian suntik vaksin kosong – Khairy

0
183
KHAIRY (kanan) menegaskan CITF memandang serius kes- kes dilaporkan.

PUTRAJAYA 23 Julai – Hanya satu kes suntikan vaksin kosong direkodkan setakat ini disebabkan kecuaian seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin kes itu melibatkan seorang jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

“Untuk kes di Sungai Petani, iaitu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, ini satu-satunya kes dan jururawat telah mengaku berlaku kecuaian disebabkan keletihan.

“Amaran telah diberi kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat dan dia akan melalui tindakan tatatertib di bawah KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Program PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Jelasnya, daripada 16 juta dos vaksin yang diberikan secara kumulatif setakat ini, hanya 13 laporan polis yang dibuat berkenaan isu suntikan kosong.

“Saya telah bincang dengan PDRM berkenaan perkara ini. Setakat hari ini menunjukkan bahawa laporan polis yang dibuat tiada kaitan langsung dengan kes kononnya berlaku suntikan kosong dengan sindiket jualan vaksin.

“Ada siasatan dibuat berkaitan sindiket jualan vaksin, (tapi) polis memaklumkan setakat ini tiada kaitan kes suntikan kosong dengan penjualan vaksin.

“13 kes telahpun dibuat laporan polis. Ada beberapa kes selesai disebabkan salah faham dan telah dipadamkan media sosial pengadu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairy berkata dua lagi kes di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Banting dan MITEC, Kuala Lumpur, adalah disebabkan kekeliruan petugas kesihatan apabila dos tambahan diberikan kepada penerima.

“Kadar kes yang dilaporkan sangat rendah berbanding lebih 16 juta dos yang diberikan kepada rakyat ketika ini.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat agar terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus dalam peperangan menentang COVID-19,” katanya.

Khairy menegaskan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang serius kes-kes dilaporkan.

“….kita ingin memastikan bahawa semua yang datang untuk mendapatkan vaksinasi diberikan vaksin secara sempurna.

“Saya melihat bahawa walaupun ada satu kes, kita akan ambil dengan serius saya bukan perkecilkan masalah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.