Ibu tunggal nafi cuba bunuh bayi

0
1462
TERTUDUH Syarifah Norain (depan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh bayinya.

AYER KEROH 23 Julai – Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu cuba membunuh dan mendedahkan bayi perempuannya kepada bahaya, minggu lalu.

Tertuduh, Syarifah Norain Mohamad Zali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon supaya dibicarakan selepas mendengar pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa cuba membunuh anak kandungnya yang berusia satu tahun sembilan bulan dengan cara membuangnya ke dalam longkang.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di tepi longkang di Lorong Pandan, dekat sini, pada 13 Julai lalu, kira-kira jam 8.40 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Syarifah Norain mengaku bersalah atas pertuduhan kedua mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak, iaitu mendedahkan anaknya itu kepada bahaya hingga cedera pada tarikh, masa dan di tempat sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Begitupun mahkamah tidak menjatuhkan hukuman selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon tarikh baharu untuk serahan fakta kes.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana menanggung dua anak yang kini dijaga sementara oleh ibunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 26 Ogos depan bagi sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman, pengurusan kes dan serahan dokumen.

ARTIKEL BERKAITAN: (Eksklusif) Ibu ‘lalok’ cuba campak anak dalam longkang

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.