Harga getah dijangka melepasi RM3.50 sekilogram pada akhir 2022 – Zuraida
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata harga getah ketika ini adalah dalam keadaan stabil dan melebihi RM2.50 sekilogram dan pihak kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil bagi memenuhi permintaan untuk eksport.
“Pengeluaran getah negara masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan pihak kementerian sedang melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan hasil getah negara, antaranya menambah baik pengeluaran getah secara ‘estate management’.
“Ianya akan menjadikan pengurusan hasil getah negara akan lebih mampan dan berstruktur, ia dapat menghasilkan pengeluaran getah yang lebih tinggi,” katanya ketika majlis pelancaran Getah Antirasuah 2021-2025 (GETAR 2021-2025) di Stesen Penyelidikan RRIM Sungai Buloh di sini, hari ini.
Selain itu, Zuraida turut mengucapkan tahniah kepada Lembaga Getah Malaysia atas usaha dan kejayaan membangunkan GETAR 2021-2025, ia merupakan sebuah pelan strategi yang penting untuk melaksanakan dasar antirasuah dalam sebuah organisasi.
Usaha tersebut bersesuaian dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Ia akan menjadikan penjawat awam lebih efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan yang bertaraf dunia. Pada masa yang sama, persepsi positif terhadap penjawat awam juga dapat dipertingkatkan.
“Ketersediaan warga kerja yang berintegriti tinggi adalah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk ke arah pengetahuan, teknologi dan inovasi dengan matlamat untuk menyumbang ke arah pembangunan organisasi dan seterusnya negara tercinta,” katanya
Zuraida juga mengatakan dalam usaha semua pihak untuk menuju ke arah status negara maju yang berpendapatan tinggi, agenda pembanterasan rasuah perlu menjadi keutamaan negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.