Melaka rekod purata 15,000 kelahiran setiap tahun – JPN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Kadar kelahiran di Melaka tidak menunjukkan penurunan ketara dari tahun 2019 hingga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka Norazle Sulaiman berkata dari tahun 2019, 2020 dan 2021 secara puratanya kadar kelahiran mencecah 14,000 ke 15,000 setahun.

Katanya, manakala bagi kelahiran anak merdeka yang lahir pada tanggal 31 Ogos mengikut statistik tahunan pada 2019 ialah seramai 34 orang, diikuti 32 pada 2020 dan 39 pada tahun lalu.

“Meskipun pandemik COVID-19, namun kadar kelahiran di negeri ini secara keseluruhan dilihat tidak jauh beza dan tiada perubahan ketara kerana secara puratanya hampir sama setiap tahun. “Manakala bagi kelahiran bayi pada tanggal 31 Ogos setiap tahun pula puratanya juga tidak mempunyai beza ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang JPN Melaka 2022 #Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Wan Madihi Wan Salleh dan Timbalan Pengarah JPN negeri Masitah Mohamat.

Pada majlis itu, JPN Melaka mengagihkan hampir 1,000 helai bendera untuk dikibarkan di lima cawangan JPN dalam negeri ini.

Ujarnya, ia sebagai tanda solidariti teguh bersama sekaligus menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Tanggal 16 Ogos (hari ini) kita mulakan ambang Merdeka, di peringkat negeri kita telah serahkan 1,000 helai Jalur Gemilang kepada lima cawangan JPN dalam negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1995
Kongsi :
Previous post Harga getah dijangka melepasi RM3.50 sekilogram pada akhir 2022 – Zuraida
Next post Projek LCS: Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21 juta
Ubah saiz-+=