Hari Malaysia 2022: Panorama Melaka sedia dua bas percuma untuk pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 September – Panorama Melaka Sdn Bhd (PSMB) akan menyediakan dua buah bas henti-henti bagi mengambil dan menghantar pengunjung yang hadir ke Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, operasi bas Panorama Melaka itu akan bermula pada jam 5 petang hingga 1 pagi.

“Bas Panorama ini buat kegunaan semua pengunjung yang hadir ke Sambutan Hari Malaysia di mana setiap bas boleh menampung sehingga 30 penumpang pada satu masa.

“Untuk laluan, bermula dari Pulau Melaka terus ke jalan besar di belakang Hospital Mahkota seterusnya masuk ke laluan belakang Mahkota Parade keluar di Menara Taming Sari dan terus ke Dataran Pahlawan.

“Ia kemudian memasuki laluan ke Bangunan Merah seterusnya melalui Muzium Samudera dan keluar di Menara Taming Sari sekali lagi melalui Dataran Pahlawan dan terus ke arah Hotel Hatten seterusnya ke Pulau Melaka kembali.

“Orang ramai yang ingin menggunakan parkhidmatan bas ini, boleh menunggu di tepi jalan di sekitar kawasan Melaka Raya (kawasan laluan bas) dengan kekerapan 10 ke 15 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Melaka Sentral di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada hentian tertentu ditetapkan bagi memudahkan pengunjung yang meletakkan kenderaan di tapak parkir jauh dari lokasi penganjuran.

Untuk kemudahan juga katanya, pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menyediakan sebanyak 2,133 lot parkir percuma buat pengunjung di sekitar kawasan Melaka Raya dan kawasan berhampiran lokasi sambutan Hari Malaysia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3122
Kongsi :
Previous post Malaysia dijangka tidak alami kemelesetan
Next post 200 penari gamatkan pentas Hari Malaysia 2022
Ubah saiz-+=