‘Hero’ UTeM bantu pasang capaian internet di sekolah luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MERLIMAU 29 April – Sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalankan projek khidmat komuniti dengan melaksanakan kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau Melaka, baru-baru ini.

Berteraskan sifat cakna dan prihatin apatah pula di bulan Ramadan ini mereka mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang ada bagi tujuan memastikan anak-anak bangsa di desa turut dapat nikmati capaian internet bagi tujuan pembelajaran.

Projek khidmat komuniti ini diketuai oleh Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dan dibantu tujuh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM.

Dr Imran berkata, misi utama projek ini adalah memastikan sekolah ini mendapat capaian internet yang baik bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berorientasikan akses internet dapat dilaksanakan.

Jelas beliau, penggunaan penghala wayarles itu merupakan pilihan yang terbaik kerana ia lebih menjimatkan perbelanjaan kepada pihak sekolah memandangkan mereka boleh menggunakan kad sim mana-mana syarikat telekomunikasi beserta pakej data yang dirasakan sesuai dengan keperluan pembelajaran.

Katanya, peralatan itu juga mudah dialihkan ke tempat lain sekiranya pihak sekolah merasakan ada keperluan untuk memindahkan lokasi kelas mengikut kesesuaian dan penggunaan dari semasa ke semasa.

“Projek ini juga menjadi serampang dua mata kerana mereka bukan sahaja mencurahkan khidmat komuniti malahan ia turut menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) wayarles yang semakin tinggi keperluannya pada masa kini,” ujarnya.

MEREKA yang terlibat bergambar di hadapan SMK Dang Anum.

Mengulas lanjut beliau berkata, program itu akan diteruskan yang mana program susulan bersama pihak sekolah sedang dirancang seperti peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan termaju serta program inovasi teknologi bagi memupuk minat pelajar-pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dang Anum, Norhafiz Haron berkata, terdapat dua kawasan strategik yang terpilih untuk pemasangan penghala wayarles ini.

Katanya, kawasan itu adalah kelas pembelajaran pelajar kelainan upaya dan kelas mentelaah pelajar-pelajar di asrama yang mana pihak sekolah menilainya sebagai keperluan yang mendesak.

Sehubungan itu beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan pihak UTeM yang telah berjaya menyempurnakan kerja-kerja pemasangan dari mula hingga selesai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1473
Kongsi :
Previous post Ruang legar kedai, pejabat jadi tempat longgokan sampah
Next post Belia tiga daerah Melaka berjaya khatam al-Quran
Ubah saiz-+=