Belia tiga daerah Melaka berjaya khatam al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

RIM 29 April – Kira-kira 60 anak muda dari tiga daerah di negeri memanfaatkan sepenuhnya keberkatan Ramadan apabila berjaya khatam al-Quran pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Khairul Adri Rosli berkata, khatam al-Quran itu merupakan antara program yang dirancang membabitkan belia dari daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin dalam mengimarahkan suasana Ramadan tahun ini.

Katanya, seramai 20 anak muda diiringi dua ustaz dari daerah masing-masing telah dihimpunkan di Masjid As-Sajidin, Simpang Kerayong, di sini dalam program Rakan Muda Ramadan Majlis Khatam Al-Quran Negeri Melaka 2022, yang dianjurkan baru-baru ini.

“Program yang dianjurkan ini merupakan acara penutup bagi Program Tadarus Al-Quran yang telah diadakan pada awal bulan Ramadan sehingga 25 Ramadan.

“Program ini merupakan program ikonik tahunan yang telah dilaksanakan di seluruh negara sejak sekian lama dengan anjuran tahun ini, program tadarus al-Quran kembali kepada konsep asal iaitu secara bersemuka dan fizikal.

“Alhamdulillah, program ini secara zahirnya mempromosikan dan menggerakkan golongan belia untuk membantu komuniti atau masyarakat setempat yang memerlukan bantuan dan khidmat sokongan malah memberi pendedahan kepada belia tentang kepentingan silaturrahim, kesukarelawan, bertanggungjawab kepada masyarakat serta hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, program yang diadakan itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Program diadakan sejak jam 3 petang diakhiri dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada peserta dan penyampaian bantuan kepada asnaf terlibat.

Kesemua peserta yang hadir turut diraikan dengan Majlis Berbuka Puasa disusuli sembahyang Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

985
Kongsi :
Previous post ‘Hero’ UTeM bantu pasang capaian internet di sekolah luar bandar
Next post Feri Dumai tiba di Melaka pada raya ketiga
Ubah saiz-+=