Sorting by

×

HFMD: MELAKA TINGKAT KAWALAN, MINTA IBU BAPA MAIN PERANAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Kes jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) merekodkan peningkatan di seluruh negara, termasuk Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem memaklumkan, peningkatan itu mula direkodkan selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan setakat Minggu Epid Ke-18 (27 April – 3 Mei 2025) sejumlah 882 kes telah direkodkan di seluruh negeri.

Menurut beliau, daerah Melaka Tengah menunjukkan jangkitan kes tertinggi iaitu sebanyak 472 kes, diikuti 270 kes di daerah Alor Gajah dan 140 kes di daerah Jasin.

“Setakat minggu Epid ke-18, sebanyak 15 kes HFMD dimasukkan ke wad, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kemasukan ke wad perubatan atau kanak-kanak berjumlah 99 kes.

“Bagaimanapun, majoriti kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kemasukan kes ke unit rawatan rapi (ICU) mahupun kematian dilaporkan setakat ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Susulan itu, Hee Sem memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan meningkatkan kawalan bagi mengelakkan kes HFMD terus meningkat di seluruh negeri.

Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa agar lebih cakna dan memainkan peranan penting bagi mengelakkan anak-anak mereka dijangkiti atau menjangkiti orang lain.

“Saya meminta ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak mereka ke taska atau sekolah sekiranya anak mereka tidak sihat atau menunjukkan gejala HFMD.

“Pada masa sama, anak-anak ini juga diminta untuk memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dalam usaha untuk mengelakkan jangkitan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

777
Kongsi :
Previous post TOURISM MELAKA MAHU ANGKAT KONDA KONDI KE PENTAS ANTARABANGSA
Next post PLAK TASKA BERDAFTAR TINGKAT KEYAKINAN IBU BAPA DI MELAKA